SUKAN > BERITA

SKUAD BOLING REMAJA WANITA NEGARA SAMBAR EMAS DI KEJOHANAN DUNIA IBF

18/07/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Skuad boling remaja wanita negara meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita pada Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Stadium Fiesta Asiad Bowling Icheon, Korea Selatan, hari ini.

Menurut laman https://www.abf-online.org, pasukan wanita Malaysia mempamerkan aksi cemerlang apabila menumpaskan Singapura 2-0, masing-masing dengan 221 dan 236 mata pada perlawanan pertama dan kedua manakala pasukan lawan meraih 211 dan 190 mata. 

Skuad itu dibarisi Nur Hazirah Ramli yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini selain Adania Mohd Redzwan Anis Hannani Romzi dan Adelia Nur Irwan Syazalee.

Pingat emas tersebut merupakan satu-satunya pingat diraih kem negara sepanjang 12 hari kempen Kejohanan Remaja Dunia IBF yang berlangsung sejak 7 Julai lepas.  

Mereka sebelum itu melangkah ke final selepas menewaskan pasukan Colombia 2-1 pada aksi separuh akhir. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan