SUKAN > BERITA

TAK MUSTAHIL KEM MEMANAH HADIRKAN PINGAT BUAT NEGARA - ARIANA

19/07/2024 09:01 PM

SEPANG, 19 Julai (Bernama) -- Mengakui tampil ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai skuad 'underdog', pemanah recurve negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi tetap optimis kem memanah negara mampu menjelmakan sekurang-kurangnya satu pingat di temasya sukan berprestij itu. 

Atlet berusia 19 tahun itu berkata bagi sukan memanah setiap atlet hanya akan bersaing dengan diri sendiri dalam usaha mengawal emosi dan taktik bidikan untuk memburu podium di pentas terbesar itu kelak. 

Katanya, oleh itu adalah tidak mustahil untuk kem memanah negara menaiki podium sekali gus memperoleh pingat untuk disumbang ke kontinjen Malaysia di temasya sukan empat tahun sekali itu. 

"Tidak mustahil untuk kami bawa balik sesuatu dari Paris, mungkin pingat dari acara berpasukan insya-Allah ataupun seorang dari kami akan bawa balik pingat bagi individu, tidak mustahil lah bagi saya 

"Bagi saya kami akan lawan diri sendirilah mungkin dari segi macam mana kami kawal diri dekat sana nanti mungkin kita boleh memperbaiki dari segi bidikan ke ataupun skor kami di sana," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Paris bagi temasya Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirainya 26 Julai ini. 

Ariana berlepas ke Paris bersama dua lagi atlet memanah Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh bersama ketua jurulatih Lee Jae-hyung, seorang pengurus pasukan dan seorang pegawai perubatan. 

Dalam pada itu, Ariana turut menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mempebaharui catatan peribadi terbaiknya di Paris kelak. 

"Latihan dua minggu di Korea Selatan sebelum ini membantu kami, dapat belajar dan tengok bagaimana pemanah luar negara berlatih dan belajar tenangkan diri di sana...akan guna pendekatan sama di Olimpik nanti," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan