SUKAN > BERITA

MISI DUA DALAM SATU ATLET MENEMBAK PERLIS DI SUKMA 2024

21/07/2024 12:13 PM

KANGAR, 21 Julai (Bernama) -- Skuad menembak Perlis mempunyai misi besar pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak dengan matlamat untuk mencipta kejayaan serampang dua mata.

Muhammad Ariff Naim Ariff Nazir dan Nur Aina Sofea Aziz bukan saja menyasarkan untuk menyumbang emas buat kontinjen Perlis malah berharap dengan kejayaan mereka itu dapat menarik minat golongan muda dalam sukan menembak.

Bagi Muhammad Ariff Aiman, 20, biarpun dibelenggu kecederaan kecil yang dialaminya semasa latihan, namun ia sedikitpun tidak menjejaskan semangat dan tumpuannya untuk memburu pingat emas acara Air Rifle berpasukan campuran, bergandingan dengan Nur Aina Sofea.

“Saya mengalami kecederaan kecil di belakang semasa latihan sebelum ini namun ia bukan kekangan untuk saya mempamerkan aksi terbaik. Saya harap kecederaan ini cepat pulih sepenuhnya, lagi pula ia hanya kecederaan kecil,” katanya kepada Bernama, menambah persiapannya kini sudah 85 peratus siap untuk mencabar kedudukan di SUKMA 2024.

Bagi Nur Aina Sofea, 21, persediaan rapi dijalankan sejak 2022 dan kemenangan di Kejohanan Sport Excel MSN/Milo/NSAM dua tahun lepas menjadi pembakar semangat untuk mereka meraih pingat di Sarawak nanti.

“Alhamdulillah, untuk persiapan SUKMA kali ini saya sudah mencapai dalam 95 peratus kemajuan, sekarang latihan untuk gilap semula lagi dari segi sasaran dan mengekalkan prestasi untuk bertanding di sana (SUKMA 2024),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) Mohd Azraai Zain Tusimin berkata pihaknya menaruh harapan kepada kedua-dua pembidik yang dilihat berpotensi memberikan kilauan pingat buat kem menembak Perlis.

“...Aina dan Ariff yang telah memenangi beberapa kejohanan sebagai tulang belakang dalam menaikkan semangat pasukan.

“Kita yakin dengan pengalaman yang mereka ada, dapat membantu pasukan menembak meraih pingat pada SUKMA (2024) nanti,” katanya.

SUKMA 2024 akan membuka tirai pada 17 hingga 24 Ogos, membabitkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah dan Miri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan