SUKAN > BERITA

TFC BAKAL LEPASKAN IVAN MAMUT

21/07/2024 02:47 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Julai (Bernama) -- Hasrat penyokong Terengganu FC (TFC) untuk menyaksikan kelibat Ivan Mamut di tengah padang pada musim ini mungkin harus dilupakan setelah pengendalinya memberi bayangan untuk melepaskan pemain itu pada jendela perpindahan kedua nanti.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata beliau tidak dapat menunggu lebih lama untuk pemain berusia 26 tahun yang dibelenggu kecederaan berlarutan kembali beraksi memandangkan tempoh liga masih panjang dan masih banyak perlawanan perlu diharungi.

“Sudah enam bulan Ivan tidak dapat beraksi. Beliau telah cuba melakukan latihan ringan tapi masih rasa sakit.

“Saya tidak tahu bila beliau akan pulih dan kembali beraksi. Tapi kita perlu mencari pemain pada jendela perpindahan berikutnya, mungkin memperkuatkan bahagian serangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Steinbruckner berkata perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan berhubung perkara berkenaan namun masih dalam pertimbangan.

Beliau berkata TFC perlu mendapatkan pemain sesuai di posisi Mamut dalam usaha mencapai sasaran tinggi ditetapkan pihak p-engurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) untuk Liga Super, Piala FA dan Piala Shopee.

“Kita mempunyai sasaran tinggi. Piala FA akan menjelang, Piala Shopee dan sudah tentu juga saingan Liga Super. Tanpa Ivan kita masih belum kuat seperti sebelumnya," katanya.

Mamut menjadi watak penting skuad Penyu apabila berjaya meledak 17 gol dalam semua pertandingan sepanjang musim 2023. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan