SUKAN > BERITA

TFC BAKAL TURUN SKUAD TERKUAT HADAPI SELANGOR FC

18/07/2024 02:46 PM

KUALA NERUS, 18 Julai (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) akan menurunkan barisan terkuatnya bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Selangor FC malam esok.

Ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner berkata beliau berkemungkinan besar akan mengekalkan skuad sama yang beraksi pada perlawanan suku akhir menentang Sabah FC di Stadium Likas 6 Julai lepas.

Beliau berkata semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk memperagakan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

"Kemungkinan kita akan turunkan pasukan yang sama untuk perlawanan besar menentang Selangor. 

"Pemain kami beraksi dengan baik ketika bertemu Sabah sebelum ini. Jadi sukar untuk diubah. Saya percaya dengan sokongan penonton, kita boleh menang perlawanan esok," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini.

Steinbruckner berkata skuad Penyu juga menjangkakan aksi sengit dan agresif dari anak buah Nidzam Jamil.

Oleh itu, beliau mengingatkan pemainnya supaya sentiasa berwaspada walaupun skuad The Red Giants bakal beraksi tanpa kelibat Yohandry Orozco dan Rediq Banihani yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan suku akhir menentang Kuching City FC, 7 Julai lepas.

"Itu memberi kelebihan kepada kami. Tetapi Selangor… mereka ada bukan hanya sebelas pemain yang baik. Jadi, saya mahu pasukan saya fokus pada kekuatan kami esok...bukan kepada pasukan lawan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan