SUKAN > BERITA

MUHAMMAD FAKRUL AFIZUL IDAM SATU EMAS DI SUKMA 2024

21/07/2024 05:20 PM

Oleh Azli Shafii

KOTA BHARU,  21 Julai (Bernama) -- Atlet olahraga Kelantan, Muhammad Fakrul Afizul Nasir menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada tiga acara disertainya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Sebagai persiapan, atlet berusia 20 tahun yang membuat penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan kebangsaan itu giat menjalani latihan di Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Gambang, Pahang.

“Edisi di Sarawak merupakan kali kedua saya di SUKMA selepas edisi di Kuala Lumpur. Ketika itu saya memenangi pingat gangsa dalam acara 400 meter (m).

“Tahun ini saya menyertai tiga acara iaitu 400m, 400m lari berpagar dan 4x400m. Saya akan berikan komitmen sepenuhnya kepada kontinjen Kelantan yang memilih saya mewakili negeri,” katanya kepada Bernama.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan