KES PUKUL: DUA POLIS TRAFIK DILEPASKAN DENGAN JAMINAN POLIS

22/07/2024 03:13 PM

KANGAR, 22 Julai (Bernama) -- Dua anggota polis trafik berpangkat koperal yang direman tiga hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes memeras ugut dan memukul seorang lelaki warga Bangladesh pada Jumaat lepas, dilepaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata pada masa ini pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak polis sedang menunggu laporan perubatan untuk mengetahui tahap kecederaan dialami mangsa dalam menyiapkan sepenuhnya kertas siasatan ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya yang berusia awal 30-an dilaporkan ditahan pada Jumaat selepas polis menerima laporan bahawa lelaki warga Bangladesh itu dipercayai dipukul dan diperas ugut oleh mereka dan nilai wang dipercayai diterima daripada peras ugut itu ialah sebanyak RM700.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan