SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: MUHAMMAD HAMZAN AMAL DIET KETAT DEMI EMAS

23/07/2024 10:07 AM

Oleh Syamsiah Sahat

IPOH, 23 Julai (Bernama) --  Pesilat kebangsaan Muhammad Hamzan Halim mengamalkan diet ketat agar tidak terlepas peluang sekali lagi meraih emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Muhammad Hamzan yang mewakili Perak dan kali ini bertanding bagi kategori 75-80 kilogram berkata pada fasa akhir ini beliau menitikberatkan penjagaan berat badan selain fokus pada taktikal kerana kesilapan pemakanan boleh menyebabkan berat badan tidak konsisten.

Pemenang pingat emas SUKMA edisi 2022 dalam kategori 70-75 kilogram itu berkata sejak dua bulan lepas beliau hanya makan sekali sehari dengan diet protein tinggi.

“Saya akan ambil nasi dan telur rebus serta lauk berprotein tinggi bagi memastikan berat badan kekal untuk kategori yang saya wakili,” kata anak jati Semanggol itu kepada Bernama di sini.

Muhammad Hamzan berkata sasaran pingat kali ini amat bermakna bagi dirinya kerana merupakan edisi terakhir dia layak menyertai sukan itu.

Selain Muhammad Hamzan, sasaran emas turut diletakkan pada bahu pesilat wanita Didie Shahira Mohd Sani, yang memenangi pingat gangsa pada edisi lepas.

Jurulatih skuad silat Perak Muhammad Fahmizie Fauzi berkata Didie Shahira dilihat mampu menggenggam pingat emas berdasarkan prestasi ditunjukkan sepanjang tiga temasya yang disertainya sebelum ini.

“Sandaran kita kali ini ialah 16 kategori daripada 20 kategori iaitu sembilan wakil pesilat lelaki dan tujuh pesilat wanita. Sasaran kita pula ialah dua pingat emas pada kali ini,” katanya yang turut menyasarkan Mohd Irfan Eruan berpotensi menghasilkan kilauan pingat.

Beliau berkata selain fizikal, latihan pada saat akhir turut menumpukan kepada elemen kerohanian bagi membakar semangat peserta, taktikal untuk mengelak kecederaan dengan memfokuskan pemahaman di dalam gelanggang serta mengelak gerakan perlawanan.

“Turut ditekankan, pemakanan bagi mengawal berat badan untuk kesesuaian bagi setiap kategori dipertandingkan,” katanya.

Pada edisi 2022 di Kuala Lumpur skuad silat olahraga Perak berjaya merangkul satu emas, dua perak dan enam gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan