SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: PASUKAN RAGBI WANITA SARAWAK TETAPKAN SASARAN MARA KE PERLAWANAN AKHIR

22/07/2024 10:48 AM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 22 Julai (Bernama) --  Pasukan ragbi wanita Sarawak menetapkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan diadakan pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengurus pasukan Faqrul Hafiz Abu Bakar berkata jika anak buahnya mampu melepasi peringkat suku akhir kelak, tidak mustahil mereka boleh memperolehi pingat emas.

“Pasukan ragbi wanita memiliki kelebihan dengan kehadiran tujuh pemain yang pernah mewakili pasukan kebangsaan dalam skuad senior U20 dan U18 Malaysia.

“Pengalaman mereka di peringkat kebangsaan diharapkan dapat membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Faqrul juga meletakkan harapan tinggi terhadap skuad lelaki tuan rumah itu walaupun tanpa kehadiran pemain kebangsaan.

 “Harapan tinggi diletakkan agar pasukan Sarawak mampu menyaingi pasukan-pasukan lain dalam edisi kali ini dan menunjukkan aksi permainan yang cemerlang.

“Dengan persiapan yang intensif dan komitmen yang tinggi, diharapkan pasukan ragbi Sarawak dapat mencapai kejayaan yang gemilang dalam kejohanan SUKMA kali ini,” katanya.

Pertandingan ragbi akan diadakan pada 19 hingga 22 Ogos di Stadium Miri, bahagian utara Sarawak yang terletak kira-kira 800 kilometer (km) dari bandar Kuching.

SUKMA 2024 mengetengahkan 37 jenis sukan melibatkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sarawak pernah menjadi tuan rumah sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan