SUKAN > BERITA

SUKMA: SARAWAK SASAR TIGA EMAS UNTUK CATUR

23/07/2024 12:15 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 23 Julai (Bernama) -- Pasukan tuan rumah menyasarkan sekurang-kurangnya tiga emas menerusi catur pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengurus pasukan Abang Mohammad Reduan Abang Sahari berkata pasukan negeri itu yang terdiri daripada enam wanita dan enam lelaki kini giat menjalani latihan sekurang-kurangnya empat kali seminggu bagi mengasah kemahiran berfikir serta menguji ketahanan mental masing-masing.

“Latihan itu melibatkan secara fizikal (atas papan) dan secara dalam talian juga...disebabkan kebanyakan pemain kami berada di luar Kuching, mereka selalu berlatih secara dalam talian, selain menyertai pertandingan catur dan selepas ini kami akan dedahkan pemain dengan dua lagi pertandingan catur sebelum menghadapi SUKMA.

“Kita telah giat adakan pemilihan di setiap bahagian negeri pada hujung tahun lepas dan skuad catur Sarawak bagi SUKMA terdiri daripada mereka yang berusia dari 14 hingga 21 tahun,” katanya kepada Bernama. 

Sejumlah 10 pingat emas menjadi rebutan menerusi sukan itu yang julung kali dipertandingkan di pentas SUKMA melibatkan tiga disiplin iaitu Standard, Rapid dan Blitz. 

Abang Mohammad Reduan yang juga Naib Presiden Persekutuan Catur Malaysia berkata keputusan meletakkan catur sebagai acara temasya dwitahunan itu memberi peluang kepada negara untuk melahirkan lebih ramai pemain catur profesional pada usia muda. 

“Catur ini sangat unik kerana ia menguji kemahiran berfikir. Orang selalu fikir catur ini tempoh permainan lama tapi sebenarnya perlu cepat sebab kita menggunakan masa, contohnya kategori Blitz atau catur kilat kena bergerak laju, berfikir pantas dan buat keputusan tepat dengan format kawalan masa hanya tiga minit dan dua saat,” katanya yang juga Presiden Persatuan Catur Sarawak.

Sementara itu, Muhammad Fadhlullah Mohamed Ameenudeen, 16, yang menggalas misi emas Sarawak menzahirkan keterujaan untuk mewakili negeri bersama rakan sepasukan meskipun terikat dengan komitmen di sekolah.

Mula menceburi sukan catur pada usia 11 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas, Kuching itu menanam impian untuk bergelar ‘grandmaster’ suatu hari nanti. 

“Bukan mudah untuk menang emas pada SUKMA namun saya akan memberikan yang terbaik dan kekal sihat agar saya dapat memberikan yang terbaik semasa SUKMA,” katanya yang pernah menyertai pertandingan catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Ketua jurulatih Muhammad Zulfaqar Abu Bakar pula percaya skuad Sarawak mampu memberikan saingan sengit kepada negeri lain. 

“Rekod pemain catur Sarawak agak bagus dan kita memang letak sasaran khususnya untuk kategori lelaki…fokus kita untuk kuatkan mental pemain,” katanya. 

Sebanyak 37 jenis sukan melibatkan 488 acara bakal dipertandingkan pada SUKMA edisi ini.

Pertandingan catur dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 24 Ogos di Dewan Jubli UiTM, Kota Samarahan.

Selain Samarahan, turut menjadi pentas rebutan pingat atlet muda negara ialah Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan