SUKAN > BERITA

MOHAMAD NORZA DICALONKAN BAGI JAWATAN NAIB PRESIDEN OCA

23/07/2024 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dicalonkan sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) pada Perhimpunan Agung badan itu 8 Sept ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya OCA Rohinton Nariman dalam kenyataan berkata Jawatankuasa Pemilihan telah bermesyuarat untuk menyemak viate kurikulum (CV) dan syarat kelayakan mengikut Perlembagaan OCA, Peraturan dan Garis Panduan Pemilihan semua calon yang dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) OCA sebelum tarikh akhir 21 Julai. 

Jawatankuasa itu juga menilai kesemua pencalonan yang diterima untuk Naib Presiden Zon OCA yang lain iaitu Timothy Fok dari Hong Kong dan Battushig Batbold (Mongolia) mewakili Timur, Putera Jigyel Wangchuk (Bhutan) dan Maxwell De Silva (Sri Lanka) untuk Asia Selatan.

Selain itu, pencalonan juga melibatkan Otabek Umarov (Uzbekistan) dan Sadyr Mamytov (Kyrgyzstan) bagi Zon Tengah manakala Dr Thani Al Kuwari (Qatar) bagi Asia Barat.

Menurut kenyataan sama pemangku Presiden Raja Randhir Singh merupakan calon tunggal yang layak untuk jawatan Presiden OCA memandangkan jawatankuasa itu sebulat suara meluluskan pencalonan beliau oleh NOC India dan disokong oleh 27 Ahli NOC OCA.

"Presiden Jawatankuasa Olimpik Mongolia Battushig Batbold yang dicalonkan oleh NOC Mongolia dianggap tidak layak oleh jawatankuasa kerana beliau tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam Artikel Perlembagaan OCA 22.1.2.1, 22.1.2.2 dan 22.1.2.3.

"Selepas mesyuarat, Jawatankuasa dimaklumkan menerusi e-mel daripada Setiausaha Agung NOC Mongolia, bahawa Batbold telah menarik balik pencalonannya untuk jawatan presiden," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan