SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: ACARA PADANG KEKAL KEKUATAN SKUAD OLAHRAGA SARAWAK

24/07/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Skuad olahraga Sarawak mempunyai lebih banyak peluang melakar kejayaan dalam acara padang berbanding trek pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 sehingga 24 Ogos ini.

Pandangan itu dilontarkan pelari pecut legenda Bumi Kenyalang dan negara, Watson Nyambek berdasarkan pemerhatian terhadap prestasi para atlet Sarawak dalam beberapa pertandingan sebelum ini.

‘The Flying Dayak’ berkata kem olahraga Sarawak mampu sekurang-kurangnya menuai empat emas dalam acara padang.

Bagi acara trek pula, atlet yang membuat dua penampilan Sukan Olimpik masing-masing pada edisi Atlanta 1996 dan Sydney 2000 itu menjelaskan persaingan ketika ini semakin hebat dengan kehadiran banyak bakat baharu.

“Saya lihat pasukan olahraga dari segi kekuatannya, boleh mencapai kemungkinan tiga atau empat emas itu pun dari acara padang.

“Acara trek saya rasa ada kekurangan sedikit, saya lihat dari segi pertandingan yang mereka selalu pergi banyak atlet kita dalam proses nak menang memang susah sebab kita tengok Johor, Terengganu dan Sabah juga mempunyai pelari trek yang bagus.

“Jadi dalam acara padang saya rasa tiada masalah mungkin ada membawa pulang emas. Sasaran saya dalam sukan olahraga dalam tiga atau empat emas, kalau trek yang menang itu bonus,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Stadium Miri baru-baru ini.

Pemenang pingat perak 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Asia 1998 di Jepun berusia 48 tahun itu kini terus menabur bakti dalam pembangunan bakat sukan olahraga sebagai jurulatih sepenuh masa Majlis Sukan Negeri Sarawak.

Pada edisi SUKMA kali ini, sukan olahraga yang akan berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching dari 19 sehingga 23 Ogos, menawarkan sebanyak 47 pingat emas.

Sebagai rekod, kem olahraga Sarawak memenangi empat emas dalam acara padang dan merangkul satu emas menerusi acara trek pada edisi lepas sekali gus menduduki tempat ketiga di belakang juara keseluruhan Johor (sembilan emas) dan Sabah di tempat kedua dengan tujuh emas.

Lima emas itu hadir menerusi acara lontar peluru lelaki, rejam lembing wanita, baling tukul besi wanita, lompat bergalah wanita dan 400m lari berpagar wanita

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan