POLIS TAHAN ENAM INDIVIDU DISYAKI JADI KELDAI AKAUN BABITKAN KERUGIAN LEBIH RM96,000

24/07/2024 09:14 PM

BALIK PULAU, 24 Julai (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita disyaki menjadi ‘keldai akaun’ kepada beberapa sindiket penipuan melibatkan kerugian lebih RM96,000.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua mereka berusia 20 hingga 47 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar negeri ini, semalam berhubung enam kes penipuan.

Beliau berkata wanita berusia 36 tahun yang ditahan itu dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian dan mengakibatkan kerugian paling banyak iaitu lebih RM76,000.

Berdasarkan siasatan, katanya mangsa iaitu seorang wanita dijanjikan komisen melalui pekerjaan kononnya dari sebuah syarikat beroperasi di Korea Selatan yang mempunyai sebuah gudang di Klang, Selangor.

“Mangsa menerima komisen RM412 setelah dia memasukkan wang RM189.26 ke akaun bank diberikan sindiket dan dia semakin tertarik dengan pekerjaan itu lalu membuat beberapa lagi pembayaran ke akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM76,651.69,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, wanita itu kemudian tidak lagi menerima sebarang komisen sebelum membuat laporan polis selepas merasakan menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata lima lagi lelaki yang ditahan dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan antaranya pinjaman wang tidak wujud, penipuan melalui panggilan telefon dan jual beli kenderaan tidak wujud, melibatkan kerugian kepada mangsa antara RM1,540 hingga RM10,000.

Kesemua enam individu itu kini direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan