SUKAN > BERITA

SITI NURIZATI PENGULAS E-SUKAN WANITA PETAH TIGA BAHASA

25/07/2024 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kerjaya pengulas e-sukan kebiasaannya dikuasai oleh kaum lelaki di Malaysia, namun Siti Nurizati Jefree, 23, berjaya memecahkan dominasi berkenaan dengan keunikan tersendiri yang dimilikinya.

Berbekalkan kefasihannya dalam tiga bahasa, Melayu, Cina dan Inggeris, membolehkan gadis kelahiran Mersing, Johor itu membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia untuk mengenali bidang e-sukan.

Mengikut Siti Nurizati atau lebih dikenali dengan nama panggilan Reezpiupiu, kerjayanya sebagai pengulas e-sukan bermula pada tahun 2020 menerusi permainan video Mobile Legend Bang Bang (MLBB) apabila adik lelakinya meminta untuk menjadi pengurus pasukan.

“Pada waktu itu sebenarnya saya tak nak sebab tak tahu langsung mengenai MLBB, tapi sebab perasaan ingin tahu permainan yang dia main, jadi saya setuju untuk menjadi pengurus pasukan.

“Selepas jadi pengurus pasukan, saya mula berjinak-jinak untuk bermain MLBB dan selepas beberapa bulan lihat mereka bermain saya tanya kepada mereka tak nak buat secara langsung ke? dan mereka cakap kalau upah orang luar mahal.

“Jadi saya tawarkan diri kepada pasukan untuk buat secara percuma dengan syarat mereka kena bantu saya cari video cara mengulas.

“Daripada situ saya mula tengok pertandingan MLBB musim-musim lepas dan belajar cara mereka mengulas. Waktu awal itu memang susah, tapi selepas belajar perlahan-lahan saya rasa seronok juga mengulas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selepas menyedari bakat yang dimilikinya itu, Siti Nurizati tidak toleh ke belakang apabila menyertai uji bakat terbuka bagi Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia musim ke-12 yang diadakan pada tahun lepas.

Beliau berkata tidak menyangka dirinya terpilih untuk menjadi pengulas MLBB memandangkan individu-individu menyertai uji bakat itu bukanlah calang-calang dan kesemua yang hadir ketika itu adalah lelaki.

Selepas setahun bergelar pengulas e-sukan MLBB, beliau kini diberi kepercayaan oleh pencipta permainan itu, Moontoon untuk mengulas perlawanan dalam bahasa Mandarin kerana kepetahannya dalam bahasa itu sejak kecil.

Siti Nurizati berkata meskipun gementar pada awalnya untuk mengulas dalam bahasa Mandarin, namun beliau menyahut cabaran itu sekali gus berjaya meraih anugerah Pengulas Mandarin oleh MLBB Academy League Malaysia (MAL) tahun ini.

“Saya memang tahu cakap bahasa Mandarin sejak kecil, malah waktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia saya ambil subjek bahasa itu. Jadi bila diberi peluang ini yang cuma datang sekali, saya rasa rugi kalau lepaskan,” katanya yang juga merupakan pelajar separuh masa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kewangan) Universiti Sains Malaysia.

Mengulas mengenai cabaran bergelar pengulas e-sukan, beliau berkata ia bukan satu perkara mudah kerana memerlukan pengetahuan luas dalam permainan itu.

“Jadi pengulas e-sukan ini kita kena sentiasa belajar dan mengikuti perkembangan semasa sebab corak permainan ini akan sentiasa berubah.

“Seandainya kita tersilap waktu mengulas, memang kita akan dikecam penonton,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kefasihannya dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris ini dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia menggunakan platform e-sukan sekali gus membantu memajukan industri berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan