SUKAN > BERITA

OLIMPIK PARIS 2024: BUSANA 'THE MALAYA' REKAAN RIZMAN RUZAINI DIGAYAKAN ATLET MALAYSIA DI PARIS

25/07/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Atlet Malaysia akan menggayakan busana rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini dinamakan 'The Malaya’ pada majlis perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024 esok.

 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Instagram rasmi malam ini memaklumkan atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet berbaju Melayu Teluk Belanga.

MOM berkata Rizman dijemput oleh badan induk itu pada Januari lalu untuk menyertai Malam Olimpik 2024 di Kuala Lumpur, di mana pereka tempatan diberi peluang untuk mempamerkan visi mereka tentang pakaian yang akan dipakai oleh atlet kita pada majlis perasmian temasya edisi ke-33 itu.

Bermula dari situ, pereka duo itu bekerja keras untuk menghasilkan pakaian tradisional membentuk 'The Malaya', visi yang  diterjemahkan kepada  apa dilihat hari ini dan apa yang dunia akan saksikan pada 26 Julai sebagai atlet kami #GoForGold ," kata MOM.

Salah seorang pereka, Rizman Nordin berkata baju teluk belanga dipilih sebagai tanda junjungan kasih buat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor, selain koleksi ini adalah satu dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yantuan Amtah, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mak Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.

"Kami memilih skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberikan satu aura klasik dan di bawah pantulan cahaya ia akan memancarkan efek keemasan, simbolik harapan untuk atlet kita membawa pulang pingat emas untuk Malaysia," katanya menerusi video dikongsikan MOM.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan busana itu dipilih Majlis Sukan Negara selain gembira apabila reka bentuk pakaian yang disifatkan sebagai elegen itu diterima baik rata-rata peminat sukan tanah air.

Kontinjen Malaysia dibarisi 26 atlet akan diketuai Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David, akan menyertai sembilan jenis sukan di Paris 2024.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai secara rasminya esok  hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan