SUKAN > BERITA

SUKMA: Pasukan e-Sukan Sabah Sasar Satu Emas

26/07/2024 05:17 PM

Oleh Arthur Edward

KOTA KINABALU, 26 Julai (Bernama) -- Pasukan e-sukan Sabah mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengurus E-sukan SUKMA Sabah Mohd Sofihizar Usrah berkata selain itu, pasukannya juga mensasarkan dua pingat perak dan dua gangsa pada kejohanan berkenaan.

Beliau berkata terdapat tujuh kategori menawarkan keseluruhan 21 pingat dalam acara e-sukan pada SUKMA kali ini dan beliau positif pasukan itu mampu mencapai sasaran diletakkan.

“Walaupun ini adalah kali pertama pasukan e-sukan Sabah menyertai SUKMA, saya yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan prestasi para peserta yang kita hantar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata seramai 12 peserta bakal mewakili negeri Sabah dalam acara berkenaan yang terdiri daripada enam peserta untuk Mobile Legends Bang Bang, dua untuk eRacing , dua untuk eFootball dan dua lagi untuk Tekken 8.

“Semua peserta dalam kondisi terbaik, biasanya pihak pengurusan akan adakan jadual latihan yang kerap dengan jurulatih dan pemain terbaik Sabah.

“Segala masa memang tertumpu untuk kejohanan ini dengan para peserta juga menyertai pelbagai pertandingan dalam rangka persiapan sebelum ke SUKMA,” katanya.

Mohd Sofihizar berharap pasukan itu mendapat segala sokongan yang diperlukan daripada peminat dan penyokong e-sukan di Sabah bagi membawa pulang kejayaan untuk Negeri Di Bawah Bayu itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan