SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Miri tawar pengalaman pelancongan sukan idaman

26/07/2024 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bulan depan, bandar raya Miri sudah bersedia sepenuhnya untuk menyambut ketibaan atlet dan pegawai serta orang ramai khususnya peminat sukan yang ingin meraih pelbagai faedah dalam satu masa.

Ibarat ‘sambil menyelam minum air’, pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan enam acara sukan di sekitar Miri tetapi juga meneroka keindahan bumi bertuah itu yang memiliki khazanah pelancongan menarik yang menawarkan pengalaman mengujakan.

Satu daripada tempat menarik di Miri ialah Bukit Kanada atau Canada Hill, yang mempunyai nilai sejarah tersendiri dan menjadi antara mercu tanda Miri, selain terkenal dengan The Grand Old Lady, sebuah monumen bersejarah yang menjadi titik permulaan industri minyak di Sarawak pada 1910.

Tersergam di kemuncak bukit itu, The Grand Old Lady setinggi kira-kira 30 meter (m), ialah derik telaga minyak yang pertama di Malaysia digerudi dengan menggunakan peralatan kabel dan telah menghasilkan 660,000 tong minyak selama beroperasi lebih enam dekad sebelum ditutup pada 1972.

Peranan The Grand Old Lady sebagai pemacu perkembangan industri minyak telah mengubah Miri daripada sebuah perkampungan nelayan kecil pada abad ke-20 kepada sebuah bandar moden dan maju pada abad ke-21.

Pengunjung juga boleh melawat Muzium Petroleum yang terletak bersebelahan The Grand Old Lady untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah dan perkembangan industri minyak di Sarawak.

Dari puncak Bukit Kanada, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah seluruh bandar Miri termasuk panorama matahari terbit dan terbenam (arah berbeza), sempadan Miri-Brunei serta pelantar minyak di luar pesisir pantai.

Di bukit itu juga penduduk setempat menjadikannya sebagai lokasi untuk beriadah dengan berjoging dan aktiviti merentas hutan sambil menikmati hamparan bumi bertuah itu yang berkeluasan 26,777 kilometer (km) persegi dan mempunyai jumlah penduduk 307,782 orang.

“Miri merupakan bandar pelancongan. Di Miri kita boleh katakan terdapat banyak tempat menarik yang boleh ditonjolkan dan dilawati seperti di dalam bandar raya Miri sendiri, para pengunjung boleh melawat Canada Hill di mana terdapatnya The Grand Old Lady telaga minyak yang pertama di Miri.

“Selain itu, pengunjung bolehlah ke Coco Cabana yang terletak bersebelahan dengan acara sukan pelayaran diadakan iaitu di Marina Bay,” kata Residen Miri Jamalie Busri dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Pejabat Residen Bahagian Miri, baru-baru ini.

Jamalie juga menggalakkan orang ramai untuk mengunjungi beberapa pantai seperti Pantai Tanjung Lubang, Pantai Luak Bay, Pantai Tusan, dan Pantai Bungai, serta pusat rekreasi seperti Taman Buaya Miri dan Piasau Nature Reserve.

Menurut beliau, Miri juga menawarkan pelbagai destinasi menarik sesuai untuk pengunjung yang meminati aktiviti lasak serta pelbagai tempat membeli-belah produk tempatan.

“Sekiranya para pengunjur berminat dengan aktivit lasak, pengunjung boleh mengunjungi Taman Negara Lambir dan Taman Negara Niah yang hanya memakan masa lebih kurang satu jam setengah perjalanan dari Miri.

“Di samping itu juga, Miri juga mempunyai sebuah taman negara diiktiraf UNESCO (Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) iaitu Taman Negara Mulu yang mempunyai beberapa buah gua cantik untuk diterokai seperti Gua Angin, Gua Rusa dan sebagainya,” katanya.

Selepas menikmati keindahan alam, pengunjung yang ingin membeli-belah boleh mengunjungi Pusat Handicraft Miri untuk cenderamata dan kraf tangan tempatan, atau pasar Tamu Muhibbah untuk produk-produk tempatan seperti beras Bario, garam baria, lada hitam, ikan terubok, belacan, dan banyak lagi.

Sementara itu, beliau berkata penganjuran SUKMA 2024 di Miri dijangka memberikan impak positif terhadap ekonomi setempat antaranya menerusi Karnival SUKMA melibatkan 60 buah gerai jualan terdiri daripada gerai basah dan produk-produk tempatan bertempat di tempat letak kereta Stadium Bandaraya Miri.

“Pada Karnival SUKMA ini juga akan melibatkan beberapa pameran agensi, produk pelancongan, persatuan serta produk SUKMA 2024 untuk pengunjung.

“Jadi, saya menyeru orang ramai untuk datang beramai-ramai pada Karnival SUKMA ini nanti di samping memberi sokongan kepada atlet-atlet kita yang akan bertanding pada masa tersebut nanti,” katanya.

Sebanyak enam sukan dipertandingan di Miri iaitu pelayaran, ragbi, pencak silat, karate, sofbol dan lawan pedang yang melibatkan keseluruhan tujuh venue antaranya Marina Bay, Stadium Terbuka Miri, Stadium Bandaraya Miri, Eastwood Valley Golf & Country Club dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.

SUKMA 2024 berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan