SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: WiPers pertaruh 70 peratus atlet baharu

28/07/2024 11:57 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Gabungan 70 peratus muka baharu dan baki 30 peratus atlet sedia ada menjadi sumber kekuatan kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) dalam mendepani saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.

Edisi kali ini menyaksikan Wipers ke Bumi Kenyalang dengan misi serampang dua mata iaitu mencapai sasaran 70 pingat emas dan pada masa sama mahu mengisi kelompok dua teratas keseluruhan carta pungutan pingat, memperbaiki pencapaian SUKMA 2022 menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh berkata WiPers merangkumi atlet dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merupakan antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan 711 atlet terdiri daripada 387 atlet lelaki dan 324 atlet wanita yang bersaing dalam kesemua 37 jenis sukan dipertandingkan.

“Kalau Wilayah Persekutuan, memang lubuk (emas) kita ialah gimrama serta akuatik dan sukan lain yang sentiasa beri emas ialah taekwondo dan karate. Tidak lupa kami juga (secara) konsisten dapat emas daripada acara bola jaring,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata WiPers bakal berdepan tentangan hebat tuan rumah, Sarawak dan pasukan terbesar di samping asakan Selangor, Terengganu dan Johor namun mereka kini dalam pecutan terakhir menjalani latihan intensif menjelang temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Mengenai persiapan atlet, Nik Ahmad Zahiruddin berkata latihan diteruskan seperti biasa sehingga saat akhir dan terdapat beberapa atlet dalam acara sukan seperti tinju, angkat berat dan taekwando sedang menjalani latihan di luar negara.

“Ia merupakan sukan sasaran dan prospek untuk mendapatkan pingat emas. Memang kelaziman MSWP menghantar atlet menjalani latihan di luar negara setiap tahun untuk mengekalkan konsistensi mereka.

“Mereka ini akan kembali ke negara sebelum SUKMA, ada yang balik jumpa keluarga sekejap sebab kita mahu kesinambungan dari latihan (di luar negara) itu, terus meningkat di SUKMA,” katanya.

Beliau berkata WiPers bagaimanapun ‘kehilangan’ sebutir permata sukan memanah yang dibentuk sejak awal remaja iaitu Ariana Nur Dania Mohamad Zairi yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini sepatutnya SUKMA pertama bagi Ariana dan merupakan atlet harapan untuk dapat pingat emas tapi bagi saya, demi perkembangan karier sukan lebih baik Ariana ke Olimpik, sebab jika layak ke Olimpik, tak boleh wakili negeri ke SUKMA,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan kontinjen WiPers di temasya itu Dr Nik Haziman Wan Hamat berkata pasukan kesihatannya meliputi tiga doktor sukan dan 30 anggota kesihatan lain termasuk ahli fisioterapi dan tukang urut.

“Dua doktor akan ditempatkan di Kuching dan satu di Miri. Kita juga dah buat saringan semua atlet dan mereka sentiasa diingatkan untuk jaga diri dan sekiranya tercedera ketika latihan, segera dapatkan rawatan daripada pihak kami.

“Minggu-minggu terakhir menjelang SUKMA memang saat genting, sebolehnya kita mahu elak atlet tercedera. Dari segi peralatan perubatan, semua pembelian lengkap termasuk ubat tahan sakit dan semburan otot,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata WiPers menyasarkan 70 pingat emas dalam usaha merealisasi misi muncul juara keseluruhan SUKMA.

Beliau juga mengumumkan insentif sehingga RM5,000 buat pemenang pingat emas (individu dan berpasukan), RM2,000 bagi perak dan RM1,000 bagi gangsa sebagai pembakar semangat kontinjen WiPers.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan