SUKAN > BERITA

Sukma: Skuad e-Racing Selangor perhebat latihan, buru pingat di Sarawak

28/07/2024 04:31 PM

SHAH ALAM, 27 Julai (Bernama) -- Pasukan pelumba maya (e-Racing) Selangor giat memperhebat latihan dalam misi memburu tiga pingat emas yang ditawarkan pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak bermula 17 Ogos ini.

Jurulatih Ahmad Akmal Fitri Mohd Ghazali berkata latihan kini berada pada fasa intensif iaitu atlet terlibat perlu membiasakan diri dengan tiga kategori pertandingan yang disertai iaitu Single Race, Time Attack dan Two-Team Racing.

Beliau menjangkakan cabaran getir menanti anak buahnya terutamanya daripada Sarawak, Perak dan Kedah. 

“Atlet kita masih lagi baharu dalam permainan RaceRoom ini...mereka memang biasa bermain permainan lumba tetapi platform yang berbeza iaitu Gran Turismo dan Super Formula Championship jadi mekanisme permainan itu berlainan. 

“Setakat ini kalau kita tengok ranking mereka dalam permainan ketika latihan untuk Single Race dan Time Attack, mereka dapat menyaingi 10 terbaik yang ada dalam ranking permainan ini,” katanya kepada Bernama.

E-Racing merupakan satu daripada acara e-sukan dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu yang menawarkan keseluruhan 21 pingat emas. 

Ahmad Akmal Fitri berkata walaupun dibarisi muka baharu, beliau yakin anak didiknya mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan negeri lain yang mempertaruhkan pemain lebih berpengalaman. 

Pemain kategori Single Race, Megat Zain E’sham Zaphrin berkata beliau kini menumpukan latihan kepada aspek pemahaman peta litar serta mekanikal permainan selain cukup teruja menanti hari kejohanan.

“Saya cukup teruja dan bertekad memberikan persembahan terbaik untuk menyumbang pingat kepada pasukan Selangor,” kata pelajar jurusan sains komputer dari sebuah universiti swasta itu.  

Pada edisi kali ini, sebanyak 15 pemain akan mewakili Selangor dalam empat acara e-sukan yang dipertandingkan iaitu e-Racing, Mobile Legends Bang Bang, e-Football dan Tekken 8. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan