SUKAN > BERITA

SUKMA: Pasukan Mobile Legends Bang Bang Sabah 'bidik' pingat emas

27/07/2024 04:42 PM

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Pasukan Sabah dalam acara Mobile Legends Bang Bang dalam e-sukan ‘membidik’ pingat emas untuk Negeri Di Bawah Bayu itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Mohammad Irwandy Lim, 20, yang memenangi pingat perak Sukan SEA 2023 berkata pasukannya akan berusaha mempamerkan prestasi terbaik kerana pemain yang dihantar pasukan lain juga adalah dalam kalangan pemain yang berpengalaman dan mempunyai kelebihan masing-masing.

Beliau dikenali sebagai ‘Izanami’ dalam e-sukan itu berkata Sabah juga turut membariskan seorang lagi pemain berpengalaman Ealtond Rayner atau ‘Lolealz’ yang pernah bermain dalam Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup (MSC), malah pernah juga bersamanya dalam pasukan RSG Malaysia.

“Kami di Sabah tidak akan sekali-kali memandang rendah pasukan lain dan fokus merealisasikan sasaran satu pingat emas untuk Sabah dalam e-sukan pada SUKMA nanti.

“Bagi saya tekanan menjadi sandaran emas tidak ada kerana kami pernah bermain dalam kejohanan lebih besar.

“Kami juga sedang dalam persiapan untuk memantapkan lagi pasukan sebelum ke SUKMA nanti," katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan memperkenalkan pasukan e-sukan Sabah pada SUKMA Ke-21 di sini hari ini.

Sementara itu, Zulfiqri Amarullah, 18, antara pemain muda penting dalam pasukan e-sukan Sabah untuk acara Tekken 8 berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya membawa pulang pingat perak dicapai.

"Kini saya dalam keadaan terbaik untuk menghadapi SUKMA dan harap sasaran pingat itu dapat dicapai, namun saya akan mempertingkatkan lagi latihan agar mampu melebihi sasaran yang ditetapkan," katanya yang meraih perak dalam acara Tekken 7 pada Sukan Sabah Edisi Ke-10.

Sementara itu, Pengurus E-sukan SUKMA Sabah Mohd Sofihizar Usrah berkata pihaknya yakin sasaran satu pingat emas, dua pingat perak dan dua gangsa dapat dicapai berdasarkan prestasi setiap atlet yang ada.

"Kita akan melipatgandakan latihan dan akan mengadakan beberapa siri perlawanan dengan pemain-pemain berpengalaman di Sabah dan saya harap latihan berkenaan dapat meningkatkan lagi prestasi setiap peserta," katanya.

Seramai 12 peserta bakal mewakili negeri Sabah dalam acara itu yang terdiri daripada enam peserta untuk Mobile Legends Bang Bang, dua untuk eRacing, dua untuk eFootball dan dua lagi untuk Tekken 8.

Terdapat tujuh kategori menawarkan keseluruhan 21 pingat dalam acara e-sukan pada SUKMA kali ini yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan