SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Muhammad Hariz Sandaran Skuad Takraw Sarawak Raih Pingat

30/07/2024 10:18 AM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 30 Julai (Bernama) -- Pemain muda kebangsaan Muhammad Hariz Hipni yang sudah dianggap pemain senior menjadi sandaran skuad sepak takraw Sarawak untuk meraih pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di negeri ini bulan depan.

Anak kelahiran Saratok di Bahagian Betong yang berusia 19 tahun itu sudah menempa nama sebagai pemain kebangsaan dengan mewakili skuad Malaysia B dan tetap yakin untuk berdepan dengan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan yang akan mewakili negeri masing-masing pada temasya sukan itu.

“Kalau dilihat, majoriti dalam skuad Malaysia B akan bermain untuk pasukan Terengganu, Johor dan Pulau Pinang pada SUKMA ini nanti, namun bagi saya pencabar skuad Sarawak adalah Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya kepada Bernama. 

Muhammad Hariz berkata mewakili Bumi Kenyalang adalah satu tanggungjawab besar, namun beliau yakin dengan prestasi skuadnya yang telah mendapat pendedahan di dalam dan luar negara untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.

“Ini merupakan penyertaan kali kedua saya di SUKMA, jadi saya bukan sahaja membawa nama bendera negeri tetapi juga nama pasukan Malaysia B,” kata pemain tekong itu kepada Bernama.

Pada SUKMA 2022, Terengganu merangkul emas bagi sepak takraw, manakala Perak meraih tempat kedua dan pingat gangsa milik Pulau Pinang. 

Ketua Jurulatih Sepak Takraw Sarawak Amir Abu Bakar turut berkongsi keyakinan Muhammad Hariz setelah skuad itu diberikan pendedahan menerusi siri perlawanan persahabatan, melibatkan beberapa pasukan negeri serta latihan intensif bersama kelab terkemuka Thailand, Kelab Takraw Ratchaburi.

“Semasa sesi latihan di Thailand, jurulatih di sana menilai kekuatan pemain kita dan mendapati pasukan Sarawak sebagai pencabar yang baik, jadi itu adalah satu pujian sebab kita adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Thailand bawah 19 tahun iaitu juara seluruh negara dan pernah menewaskan pemain senior Thailand,” katanya.

Beliau berkata penilaian jurulatih negara Gajah Putih itu telah menyuntik keyakinan dan semangat kepada skuad Sarawak untuk menghadapi SUKMA ke-21 ini. 

“Mereka (skuad Sarawak) ada potensi tapi sayang sekali sebelum ini kurang pendedahan perlawanan di luar negeri… kita harap dengan mendapat pingat di pentas SUKMA ia memberi ‘cahaya’ perkembangan sepak takraw di negeri ini,” kata Amir yang pernah menjadi jurulatih kebangsaan dari 2007 hingga 2013.

Selain Muhammad Hariz, beliau turut meletakkan harapan kepada lima pemain senior lain yang pernah beraksi dalam SUKMA sebelum ini untuk bersama-sama membimbing pemain lebih muda dalam skuad itu untuk meraih kemenangan dalam SUKMA ke-21 nanti.

Seorang daripada pemain senior itu ialah Muhammad Fakurazi Julaini, 21, yang telah mewakili pasukan Sarawak sejak SUKMA edisi 2018 dan temasya sukan itu untuk tahun ini merupakan yang terakhir buat beliau.

“Untuk SUKMA terakhir saya ini, saya memang letak harapan tinggi untuk sekurang-kurang Sarawak dapat pingat, tidak kira warna pingat... sebagai tuan rumah, kami akan menggunakan kelebihan itu,” katanya.

Acara sepak takraw kategori lelaki dan wanita bermula pada 14 hingga 23 Ogos ini dan dijadualkan berlangsung di Stadium Muhibbah, Bintulu.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan