SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Skuad Wushu WiPers Waspada Ancaman Melaka

30/07/2024 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kem wushu Wilayah Persekutuan (WiPers) waspada ancaman pasukan Melaka yang dijangka memberikan saingan sengit dalam acara taolu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak apabila kebanyakan daripada mereka merupakan atlet kebangsaan. 

Jurulatih taolu Lim Yew Fai berkata sebagai persiapan, anak buahnya telah berkampung di Universiti Guangzhou di China selama sebulan pada Mac lepas, selain menyertai beberapa kejohanan domestik sepanjang mereka berada di bawah jagaannya bermula September 2023. 

"Kami telah pergi ke Guangzhou di China pada Mac lepas untuk berlatih sebab di sana banyak pakar dalam acara taolu selain sertai dua atau tiga kejohanan dalam negara dan yang terbaharu pertandingan antarabangsa di ibu negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketika ditanya tentang sasaran ditetapkan kepada anak buahnya bagi mengatasi pencapaian satu pingat emas pada edisi terdahulu di Kuala Lumpur, Yew Fei berkata beliau enggan memberi tekanan kepada atlet wushu WiPers, sebaliknya berharap mereka kurang melakukan kesilapan semasa beraksi di Dewan Wushu, Petrajaya di Kuching. 

Pasukan lelaki WiPers dibarisi Yap Teik Yeong bagi disiplin Changquan, Daoshu dan Gunshu, manakala Alvyn Toh (Changquan, Jianshu dan Qiangshu), Wong Hong Man (Jianshu dan Qiangshu), Kwan Yin Jie (Daoshu dan Gunshu), Sing Guan Sheng (Nanquan, Nandao dan Nangun) dan Lee Cheng Yang (Taijiquan dan Taijijian). 

Pasukan wanita pula membariskan Lauren Tan bagi disiplin Changquan, Jianshu dan Qiangshu, Lee Cheng Wei (Changquan, Jianshu dan Qiangshu), Lydia Lau (Nanquan, Nandao dan Nangun), Arwen Darwisya Amri (Nanquan, Nandao dan Nangun), Kwan Yong Xin (Taijiquan dan Taijijian), manakala  Kong Yu Yen bagi disiplin Taijiquan dan Taijijian. 

SUKMA 2024 di Sarawak akan membuka tirai pada 17 hingga 24 Ogos ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan