SUKAN > BERITA

Perkampungan Sukan Di UNIMAS Sudah Sedia Terima Ketibaan Atlet

30/07/2024 05:23 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 31 Julai (Bernama) -- Kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan di sini yang dijadikan salah sebuah perkampungan sukan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dari 17 sehingga 24 Ogos ini sudah bersedia menerima ketibaan para atlet.

Naib Canselor UNIMAS Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata selain penginapan, UNIMAS turut menyediakan tempat latihan, kemudahan kesihatan dan penjagaan keselamatan sepanjang tempoh para atlet berkampung di situ.

“Ada lapan kolej kediaman di kampus barat yang boleh menampung sejumlah 8,000 atlet termasuk jurulatih dan pegawai yang terlibat.

“Persediaan kediaman yang selesa amat penting agar para atlet dapat memberi tumpuan dan ini diharap akan memberi semangat kepada mereka untuk menang dalam pertandingan,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Hata berkata selaku tuan rumah, beliau berharap agar kontinjen Sarawak mampu memperolehi kemenangan dan muncul sebagai juara.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini mengetengahkan 37 jenis sukan melibatkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

Sarawak pernah menjadi tuan rumah sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan