SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Terengganu Sedia Ganjaran Lebih Baik Jika Muncul Juara Keseluruhan

31/07/2024 08:27 PM

KUALA TERENGGANU, 31 Julai (Bernama) -- Ganjaran lebih baik menanti skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu sekiranya berjaya muncul juara keseluruhan kejohanan kali ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata beliau tidak akan mendedahkan nilai ganjaran itu buat masa ini bagi membolehkan atlet dan pihak pengurusan membuat persiapan terakhir dalam keadaan tenang sebelum kejohanan bermula 17 Ogos ini.

Ahmad Samsuri sendiri akan turun padang untuk menilai prestasi kontinjen SUKMA Terengganu di Sarawak, seterusnya menentukan nilai insentif yang akan dianugerahkan kepada atlet yang memenangi pingat emas, perak atau gangsa.

"Biasanya yang lepas-lepas, saya akan umumkan nak bagi berapa insentif kalau muncul juara keseluruhan dan berapa untuk atlet yang dapat pingat emas, perak dan gangsa.

"Tetapi kali ini saya nak buat kelainan sikit. Saya sendiri akan ke Sarawak melihat atlet bertanding. Saya akan nilaikan kesungguhan (atlet) dan kalau kita jadi juara, insya-Allah ganjarannya lebih baik daripada (SUKMA) sebelum ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya.

Memperincikan kontinjen negeri ke temasya kali ini, beliau berkata Terengganu menghantar seramai 568 atlet melibatkan 349 lelaki dan 219 wanita untuk bertanding dalam 340 acara.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah itu, hanya 30 peratus pernah bertanding di pentas SUKMA sebelum ini, manakala selebihnya dibarisi muka baharu yang beliau percaya berpotensi dan mampu menyumbang pingat  kepada negeri.

"Kita menjangkakan 31 daripada 36 jenis sukan yang disertai berpotensi menyumbang pingat sekurang-kurangnya gangsa.

"Antara sukan yang dijangka mampu menyumbang banyak pingat emas dan lain-lain termasuk pelayaran, berbasikal dan acara tempur seperti silat dan judo," katanya.

Keseluruhannya, Ahmad Samsuri berkata Terengganu menyasarkan kutipan 76 pingat emas, perak (36) dan gangsa (340) sekali gus merealisasikan hasrat untuk muncul juara keseluruhan kali ini.

Antara sukan yang menjadi sandaran katanya termasuk berbasikal, pelayaran dan sukan tempur seperti silat serta judo.

Walaupun bakal menghadapi tentangan kuat daripada pencabar terdekat iaitu Sarawak dan Johor, beliau yakin Terengganu masih berpeluang menjuarai kejohanan sekiranya ia disulam usaha serta azam yang kuat.

"Terengganu pernah menjuarai SUKMA dan kita juga sentiasa berada di kedudukan tiga teratas.

"Selain Sarawak dan Johor, negeri lain yang boleh gugat kedudukan kita termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan. Penyokong kita tak boleh hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan, jadi atlet perlu mempunyai keazaman tinggi dan tanamkan semangat ingin menang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan