SUKAN > BERITA

Pasukan bola tampar Sarawak sedia hadapi SUKMA

01/08/2024 06:09 PM

SIBU, 1 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola tampar lelaki Sarawak bersedia bertemu Pahang pada perlawanan pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Tampar Taman Rejang di sini pada 17 Ogos ini.

Ketua jurulatih skuad itu Pang Sii Chiong berkata anak buahnya sudah melakukan persiapan dari segi mental, fizikal serta strategi dan penyertaan pada kejohanan di luar negara sebelum ini juga merupakan pendedahan berharga pasukan itu dalam menghadapi saingan SUKMA nanti.

"Walaupun terdapat beberapa kelemahan, kami akan meningkatkan prestasi melalui dua sesi latihan sehari sebelum perlawanan pertama berlangsung," katanya selepas majlis penyerahan skrin panel LED antara Penolong Ketua Kontinjen acara bola tampar SUKMA Joseph Chieng kepada Pengerusi Persatuan Bola Tampar Sibu Datuk Moh Wung Ming di stadium itu.

Pang berkata Sarawak kemudian akan menentang Johor pada hari kedua (18 Ogos) diikuti Kedah (19 Ogos) sebelum peringkat separuh akhir bermula.

"Johor dijangka memberi saingan hebat dalam peringkat kumpulan, selain Wilayah Persekutuan dan Selangor yang berada dalam kumpulan lain," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan bola tampar wanita negeri Angela Tang berharap latihan dan pendedahan dalam kejohanan luar akan digunakan anak buahnya menentang Terengganu pada 19 Ogos sebelum bertemu Selangor dan Pahang.

Pada edisi 2022 di Selangor, pasukan bola tampar lelaki Sarawak berjaya merangkul emas, manakala skuad wanita hanya membawa pulang pingat gangsa.

Sementara itu, Chieng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek berkata pemasangan skrin panel LED itu bukan sahaja untuk kegunaan SUKMA, tetapi juga sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf stadium berkenaan bagi menarik penyertaan pasukan antarabangsa dalam kejohanan utama di Sibu pada masa depan.

"Saya mengajak semua peminat sukan bola tampar supaya hadir dan menyokong pasukan kita dan memastikan mereka muncul juara," katanya.

Beliau berkata pemasangan skrin panel LED berukuran 6.4 meter lebar dan 3.538 meter panjang bernilai RM50,000 itu menjanjikan pengalaman baharu kepada penonton dan Stadium Bola Tampar Taman Rejang yang boleh memuatkan kira-kira 2,500 orang itu dikatakan menjadi lokasi pertama memiliki kemudahan sedemikian.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan