SUKAN > BERITA

Sukma 2024: Atlet Tenpin Boling Bakal Berentap Di Pusat Boling Tercanggih

01/08/2024 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Megalanes Sarawak, Kuching yang menjadi gelanggang pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bagi sukan tenpin boling kini boleh berdiri sebaris dengan pusat-pusat boling tercanggih selepas kesemua 42 lorongnya dilengkapi teknologi sistem Specto.

Ketua Jurulatih skuad tenpin boling Sarawak Angelo Koay berkata Specto dibangunkan syarikat Kegle berpangkalan di Amerika Syarikat adalah sistem penjejakan yang merekodkan maklumat mengenai balingan pemain menggunakan penderia berkuasa tinggi.

Beliau berkata maklumat itu dipaparkan dalam aplikasi yang mudah digunakan sekali gus dapat memberikan input terperinci kepada jurulatih mengenai prestasi pemain di lorong meliputi aspek gerakan bola dan konsistensi balingan pemain.

“Kami memasangnya pada 2017 tetapi ketika itu hanya untuk 12 lorong, dengan sokongan Kerajaan Sarawak sekarang kita menjadi satu-satunya gelanggang boling di dunia yang dilengkapi sepenuhnya dengan Specto,” katanya kepada Bernama.

Menurut Angelo, sistem itu sangat membantu dalam memahami corak permainan, pergerakan dan transisi bola yang membolehkan jurulatih dan atlet mengenal pasti kelemahan bagi mencapai prestasi optimum semasa pertandingan.

“Sekarang ini, boling ialah sukan yang memerlukan kelajuan dan revolusi. Specto membantu kita mengetahui di mana pemain boling perlu memperbaiki balingan.

“Sama ada secara teknikal atau fizikal atau mungkin sehingga tahap peralatan yang disediakan, dengan penjejakan masa nyata, kita boleh lihat atlet membaling bola dan data akan keluar, dari situ kita terus boleh membantu atlet,” katanya.

Beliau berkata sistem itu juga memaparkan pergerakan bola dan tahap ketepatan balingan atlet yang boleh membantu jurulatih membezakan kelemahan berpunca daripada atlet ataupun peralatan.

Megalanes Sarawak yang juga Pusat Penyelidikan dan Latihan Sarawak (SRTC) untuk sukan tenpin boling, mempunyai gimnasium yang luas dan selesa untuk memudahkan jurulatih antaranya mengendalikan latihan bebanan tanpa pergi ke tempat lain.

Gimnasium yang dikendalikan Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) dengan disokong kerajaan negeri itu dilengkapi peralatan antaranya pengisar injakan, basikal senaman, dumbel pelbagai berat dan mesin elips.

Kemudahan dan teknologi di Megalanes Sarawak mampu menarik minat pasukan dan negara luar untuk menjalani latihan di sana sekali gus dapat mendatangkan hasil, selain menggilap potensi Sarawak sebagai pusat tumpuan bagi pembangunan tenpin boling pada masa depan.

Kesemua kemudahan dan teknologi di Megalanes Sarawak itu digunakan sepenuhnya skuad tenpin boling Bumi Kenyalang yang dibarisi gabungan atlet lama dan baharu dalam misi mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali kelima berturut-turut pada edisi SUKMA kali ini.

Justeru, Angelo berharap anak buahnya dapat meraih sebanyak mungkin pingat untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian empat emas, dua perak dan empat gangsa yang diraih pada edisi lalu, sepanjang saingan yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 20 Ogos ini.

“Pingat ini menjadi simbol kerja keras mereka selama setahun setengah ini, jadi saya berharap mereka dapat melakukan sebaik mungkin,” katanya.

SUKMA 2024 berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan