SUKAN > BERITA

Kekal Disiplin Tinggi Bawa Cabaran Sabah Pada SUKMA Ke-21 - Hajiji

01/08/2024 04:35 PM

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu setiap atlet mengekalkan disiplin tinggi dalam membawa cabaran Sabah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Beliau berkata disiplin merupakan elemen paling penting bagi mengekalkan prestasi tinggi ketika bertanding dalam apa sahaja jenis sukan.

"Sehebat manapun atlet itu, jika tidak berdisiplin, keupayaannya itu tidak akan sampai ke mana. Saya yakin persatuan sukan dan jurulatih telah menyampaikan perkara ini kepada semua atlet. Kita tidak mahu nama baik negeri buruk hanya kerana tidak berdisiplin,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah Kepada Kontinjen SUKMA Ke-21 Sarawak di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Pada SUKMA kali ini Sabah bakal menghantar 713 atlet yang bertanding dalam 35 acara sukan dengan menyasarkan 40 pingat emas.

Dalam pada itu, Hajiji menaruh keyakinan kontinjen Sabah mampu mencapai sasaran 40 pingat emas itu berdasarkan prestasi semasa atlet dan prestasi SUKMA Ke-20 di Kuala Lumpur pada 2022 apabila Sabah meraih 30 emas, 30 perak, dan 38 gangsa.

“Insentif terbaik pasti menanti pemenang SUKMA Sarawak nanti. Kepada semua 713 atlet mewakili Sabah dalam sukan dwitahunan ini, berjuanglah sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama Sabah.

“Saya menaruh sepenuh kepercayaan dengan kemampuan atlet-atlet kita dan akan membawa kejayaan yang pastinya menjadi penanda aras bagi semua acara sukan di negeri ini,” katanya.

Beliau juga menggesa semua atlet Sabah supaya menampilkan prestasi tertinggi masing-masing dan mencatatkan rekod terbaik bagi membuka pintu untuk dipilih mewakili Malaysia di peringkat lebih tinggi termasuk kejohanan dunia atau Olimpik.

Hajiji juga mahu semua pegawai pengiring supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan atlet sepanjang berada di Sarawak nanti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan