SUKAN > BERITA

'Kehangatan' Paris Tak Ganggu Fokus Azeem Hadapi Perlumbaan Terbesar Dalam Karier

01/08/2024 11:24 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi sedang menyesuaikan diri dengan baik di bumi Paris menjelang penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik Paris 2024  dalam acara 100 meter (m) di Stade de France, Sabtu ini.

Selepas menjalani beberapa sesi latihan di Centre Sportif de l'Ile de Vannes sejak tiba di Paris, Isnin lepas, atlet berusia 20 tahun dari Perak itu memaklumkan semua perkara berjalan lancar.

“Keseluruhan kondisi dekat sini 100 peratus baik selepas beberapa sesi. Bukan perkara besar dengan keadaan cuaca dan segalanya tetapi tidak mahu menonjol sampai ke hari pertandingan sebab tak nak buat sesuatu di luar rutin.

“Kami hanya mahu kekal momentum sampai hari perlumbaan...semoga semua berjalan lancar.cuaca dekat sini okay...tidak banyak beza dengan Malaysia, keadaan berangin sedikit dan panas semalam,” kata pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat (s) itu menerusi klip audio yang dikongsikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Menurut pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, beliau dan pasukannya akan terus memberikan tumpuan kepada rutin latihan dan usaha yang telah dilakukan sebelum ini dalam baki hari sebelum perlumbaan.

“Daripada apa yang jurulatih cakap dekat saya...masa ini hanya fokus dan melakukan terbaik dan tidak mencuba sesuatu yang berbeza...malah tumopu kepada apa yang dilakukan sepanjang tahun ini.

“Mudah-mudahan jika saya tenang maka hasilnya adalah baik,” katanya yang melakukan catatan musim terbaik setakat ini 10.24s di Amerika Syarikat, April lepas.

Azeem bertanding di Paris 2024 menerusi tiket wild card sekali gus menamatkan penantian selama 24 tahun untuk melihat kelibat pelari pecut Malaysia dalam acara 100m lelaki sejak kali terakhir dilakukan legenda Sarawak,Watson Nyambek pada edisi Sydney 2000.

Watson merupakan atlet yang membuat dua penampilan di Olimpik dalam acara sama termasuk edisi Atlanta 1996 sementara seorang lagi bekas jaguh pecut negara dan Asia Tenggara Nazmizan Muhammad hanya membuat kemunculan dalam acara 200m pada edisi 2004 Athens.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan