SUKAN > BERITA

SUKMA: Perlia Sedia Insentif Segera RM1,000 Kepada Atlet Raih Emas

04/08/2024 02:13 PM

KANGAR, 4 Ogos (Bernama) -- Perlis menyediakan insentif segera RM1,000 sejurus atlet negeri itu berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak.

Berucap pada majlis penyerahan bendera kontinjen Perlis ke temasya SUKMA, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata pemenang pingat perak akan menerima RM700 dan gangsa (RM400).

Beliau berkata bagi beregu atau kumpulan dua hingga lima orang, setiap atlet bakal menerima RM600 bagi pingat emas, perak (RM400) dan gangsa (RM200).

“Bagi berkumpulan lebih dari lima orang, setiap atlet akan diberikan RM300 untuk pingat emas, perak (RM200) dan gangsa (RM100)," katanya pada majlis itu yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Perlis menjadi negeri terbaharu mengumumkan insentif buat atlet dengan sebelum ini, Perak menawarkan insentif RM5,000 kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,000) manakala Melaka menawarkan emas (RM5,000), perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,500).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis Wan Zikri Afthar Ishak dalam ucapannya berkata Perlis meletakkan sasaran 10 pingat emas pada edisi kali ini yang merupakan sasaran realistik serta mampu dicapai.

Beliau berkata kontinjen Perlis dibarisi 398 orang yang terdiri daripada 284 atlet dan 114 pegawai dengan atlet Perlis akan menyertai 28 jenis sukan antaranya menembak, pelayaran, angkat berat, badminton, hoki dan memanah.

SUKMA 2024 berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Miri dan Betong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan