SUKAN > BERITA

SUKMA: Judo, Silat, Kabaddi Antara Sukan Sasaran Emas Untuk Perak - Saarani

04/08/2024 03:00 PM

IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Kontinjen Perak meletakkan harapan tinggi khususnya kepada pasukan judo, silat, kabaddi, silambam, muay thai, kriket dan hoki, untuk membawa pulang emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang akan bermula dari 17 hingga 24 Ogos.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kontinjen Perak menyasarkan pungutan sekurang-kurangnya 35 pingat emas dan kedudukan lima terbaik pada penganjuran SUKMA kali ini, dan yakin sasaran itu mampu dicapai meskipun mencabar.

“Slogan kita Silver to Gold! bukan sekadar retorik, tetapi mencerminkan tekad untuk meningkatkan pencapaian daripada edisi SUKMA yang lalu, yang kita menduduki tangga kelapan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata dalam usaha mempersiapkan para atlet, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif penting iaitu melangsungkan tiga kem motivasi, termasuk Kem SUKMA Negeri Perak Silver to Gold, Kem Atlet Podium Perak dan Kem Belang Tarung Tiga Warna, manakala program pusat latihan fasa akhir sedang giat dijalankan.

Sebagai tanda penghargaan pula, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Perak telah menyediakan insentif kemenangan kepada atlet yang menyumbang pingat untuk negeri pada SUKMA kali ini.

Saarani berkata pemenang pingat emas individu akan menerima RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM1,000, manakala bagi kategori berpasukan ialah RM2,500 untuk pingat emas, RM1,500 untuk perak, dan RM500 untuk gangsa.

“Jurulatih dan pengurus juga akan menerima insentif berdasarkan pencapaian atlet di bawah didikan mereka.

“Sekiranya ada pencapaian luar biasa, insentifnya pun luar biasa, tengok kepada keadaan itu,” katanya ditanya berhubung insentif tambahan sekiranya atlet SUKMA kali ini mencatat kejayaan luar biasa.

Pada SUKMA Kuala Lumpur, Perak mengutip 27 pingat emas, 28 perak dan 46 gangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan