SUKAN > BERITA

SUKMA: Negeri Sembilan Sedia Insentif RM5,000 Atlet Menang Pingat Emas

04/08/2024 02:56 PM

SEREMBAN, 4 Ogos (Bernama) -- Negeri Sembilan menyediakan insentif RM5,000 kepada atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim turut mengumumkan pemenang pingat perak akan menerima RM3,000 dan gangsa (RM2,000).

"Bagi beregu, setiap atlet bakal menerima RM3,000 bagi pingat emas, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000). Bagi berkumpulan tiga orang, setiap atlet akan diberikan RM2,000 untuk pingat emas, perak (RM1,500) dan gangsa (RM800).

"Manakala bagi acara berkumpulan lebih empat orang, setiap mereka akan mendapat RM1,500 jika memenangi pingat emas, perak (RM1,000) dan gangsa (RM500)," katanya kepada pemberita selepas penyerahan bendera kepada atlet kontijen Negeri Sembilan di Klana Resort di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan merangkap Ketua Kontijen Mustafa Nagoor.

Sementara itu, Mohd Zafir menasihatkan semua atlet yang mengambil bahagian dalam 30 sukan dipertandingkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan displin diri sepanjang berada di Sarawak.

"Displin sangat penting, bagi memastikan atlet kita sentiasa berada dalam keadaan baik, kita tidak mahu di saat-saat akhir ada atlet yang mengalami keracunan makanan atau ada peralatan mereka hilang dan sebagainya, jadi sentiasalah berhati-hati sepanjang berada di SUKMA Sarawak," katanya.

Kontinjen Negeri Sembilan mensasarkan lebih 19 pingat emas pada temasya dwitahunan itu yang bermula pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Kontinjen itu dibarisi 520 orang termasuk atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pasukan perubatan dan sekretariat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan