SUKAN > BERITA

SUKMA: Melaka Tidak Sertai Acara Bola Tampar, Bola Jaring

08/08/2024 02:50 PM

MELAKA, 8 Ogos (Bernama) -- Melaka tidak menghantar atlet untuk dua acara sukan, iaitu bola tampar dan bola jaring pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata keputusan tersebut dibuat kerana kedua-dua sukan berkenaan tidak menunjukkan potensi pingat untuk Melaka, selain terdapat isu teknikal dalam pasukan yang terlibat.

Beliau berkata selain itu, keputusan berkenaan juga dilakukan bagi mengelak kerugian kewangan kepada kerajaan negeri kerana perbelanjaan menghantar atlet ke temasya sukan berkenaan agak besar.

"Sebagai contoh, pasukan bola tampar kita berdepan dengan masalah dalaman yang belum dapat diselesaikan kerana jurulatih telah digantung.

"Ada juga pasukan yang kita tidak hantar ke SUKMA kerana prestasi mereka tidak mencapai kedudukan enam teratas pada mana-mana kejohanan yang disertai...tiada ''pulangan pelaburan'’ untuk kerajaan negeri daripada aspek pingat," katanya kepada pemberita di sini hari ini

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka yang turut dihadiri Pengarahnya Norazlee Sulaiman.

Shanmugam berkata secara keseluruhan Melaka menyertai 34 acara sukan dengan sasaran 20 pingat emas melibatkan 441 atlet dan 176 pegawai serta jurulatih.

Beliau berkata sebahagian atlet Melaka telah pun berada di Sarawak untuk menjalani latihan sebagai persiapan awal menghadapi saingan dalam temasya sukan tersebut.

"Sebahagian atlet lain akan berlepas ke Sarawak pada 16 dan 17 Ogos. Saya yakin dengan pasukan yang kita hantar, mereka pasti akan menyumbang pingat untuk Kontinjen Melaka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan