SUKAN > BERITA

SUKMA: Pelbagai Cabaran Tidak Patahkan Semangat Persatuan Tenis Sabah

07/08/2024 08:17 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) -- Pelbagai cabaran dihadapi termasuk logistik, latihan dan kumpulan pemain yang lebih terhad tidak mematahkan semangat Persatuan Tenis Negeri Sabah menyediakan pasukan terbaik pada Sukan Malaysia Ke-21 di Sarawak.

Presiden berkenaan Johnson Koh berkata logistik sememangnya cabaran paling besar apabila Sabah sebuah negeri yang luas dengan 25 daerah menyebabkan kesukaran untuk pemain dan jurulatih mengadakan latihan berpusat dengan kerap.

Beliau berkata kumpulan pemain yang boleh dipilih pula agak terhad apabila hanya 10 daerah di negeri itu aktif dalam sukan tenis, justeru persatuan itu mengadakan pelbagai kejohanan untuk mencungkil bakat dan menilai prestasi pemain negeri itu.

“Kita ada program latihan bersepadu diterapkan dengan atlet berlatih di daerah masing-masing untuk memastikan jadual latihan intensif dapat dijalankan sebaik mungkin. Pemain berada jauh seperti di Sandakan dan Keningau, kita melaksanakan program pemantauan dan penilaian prestasi secara berkala.

“Kami mahu semua atlet, tidak kira di mana mereka berada, dapat menunjukkan potensi mereka sepenuhnya,” kata Koh.

Acara tenis di SUKMA kali ini akan berlangsung di Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching bermula 16 hingga 22 Ogos ini.

Koh juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Unit Perubatan Sukan Hospital Queen Elizabeth (HQE) atas sokongan untuk menyediakan pasukan terbaik bagi membawa cabaran Sabah pada temasya SUKMA kali ini.

“Program komprehensif prestasi atlet, ujian kecergasan, program psikologi dan pemakanan serta pengetahuan mendalam mengenai pencegahan kecederaan dan rawatan terbaik daripada pakar perubatan sukan yang terlatih telah banyak membantu atlet kami,” katanya.

Jurulatih pasukan Shamsudin Mustamin berkata beliau menekankan kepentingan teknik dan kemahiran asas seperti pukulan dasar dan pergerakan kaki, selain aspek mental dan psikologi, termasuk ketahanan mental, penggambaran, dan konsentrasi.

“Atlet digalakkan untuk memperbaharui kemahiran dengan teknik baru yang dikenali sebagai teknik moden. Latihan spesifik seperti tubi gerak kaki, simulasi perlawanan dan latihan servis turut diterapkan dalam program kami,” jelas Shamsudin.

“Ini adalah untuk memastikan atlet kami bersedia secara menyeluruh dan mampu bersaing di tahap tertinggi. Pemain perlu peka dengan pukulan mematikan lawan, kemahiran pertahanan dan serangan yang baik serta senjata penyudah untuk mematikan permainan dan mendapatkan mata,” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa pemilihan dibuat berdasarkan prestasi dengan pemain telah disenarai pendek dan pemilihan peringkat akhir sedang dijalankan sebelum lapan pemain dipilih untuk mewakili Sabah pada SUKMA ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan