SUKAN > BERITA

SUKMA: Ayzek Sasar Tiga Emas Petanque

09/08/2024 07:07 PM

SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Atlet Petanque Selangor Ayzek Hakimi Safingan mengintai tiga pingat emas sekali gus menamatkan penampilan terakhirnya bersama negeri itu dengan cemerlang pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak.  

Ayzek Hakimi, 21, berkata sasaran tiga pingat emas berkenaan adalah menerusi acara shooting, single serta berpasukan dan beliau bersama atlet yang lain sedang memperhebatkan latihan bagi merealisasikan impian itu sebelum temasya dwitahunan itu bermula pada 17 Ogos nanti. 

“Secara peribadi saya inginkan emas dalam tiga acara itu dan yang paling saya yakin adalah menerusi acara shooting… kini saya sedang gandakan latihan untuk kutip pingat emas dalam acara lain,” katanya kepada Bernama. 

Pemain yang mewakili negara pada temasya Sukan SEA Vietnam dan Kemboja itu berkata beliau akan menggunakan segala pengalaman yang ada ketika beraksi di pentas lebih tinggi untuk berdepan saingan dijangka diterima daripada atlet Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang.

Ayzek Hakimi berkata pasukan-pasukan itu juga dibarisi atlet kebangsaan serta pemain-pemain senior dan berpengalaman yang boleh menggugat peluangnya merealisasikan ‘impian akhir’ menggenggam tiga pingat emas. 

Beliau yang diberi tanggungjawab selaku pembawa bendera kontinjen Selangor di Sarawak berkata SUKMA ke-21 itu cukup istimewa buatnya dan berharap dapat mengerah sehabis kudrat bersama atlet lain memenangi sebanyak mungkin pingat demi merealisasikan hasrat Selangor menduduki tempat tiga teratas pada temasya itu.

“SUKMA kali ini amat istimewa kepada saya dan berharap semua atlet dapat beraksi dengan baik bukan sahaja untuk diri sendiri dan negeri, malah untuk ibu bapa yang menyokong perjalanan karier sukan masing-masing sehingga ke tahap sekarang,” katanya. 

Pada SUKMA kali ini, sukan Petanque menawarkan 13 pingat emas keseluruhan iaitu menerusi acara shooting, single, double, triple, triple campuran dan berpasukan. 

Pada edisi kali ini, Selangor akan menyertai kesemua 37 jenis sukan dipertandingkan dan menyasarkan 61 pingat emas dengan menghantar 1,050 individu merangkumi 704 atlet, 213 pegawai serta 133 sekretariat pasukan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan