SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Nabil Aiman 'Angkut' Komputer Riba Demi Emas Sabah

10/08/2024 02:58 PM

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Biarpun berdepan cabaran mengimbangi antara latihan dan keperluan akademik, atlet tenpin boling Sabah Nabil Aiman Mantaip tetap komited untuk meraih pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Nabil Aiman, 21, seorang pelajar di sebuah kolej di Kota Kinabalu mengakui bergelar atlet merupakan sesuatu yang mencabar terutama apabila menghadapi kejohanan besar.

“Satu daripada pengorbanan yang saya buat, kalau ada pertandingan di luar seperti di Kuala Lumpur atau Sarawak atau sesi latihan luar, saya akan bawa komputer riba untuk buat tugasan,” katanya kepada Bernama.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata SUKMA kali ini merupakan penampilan ketiga dan terakhirnya, justeru bertekad untuk membawa pulang pingat emas buat Sabah.

Nabil Aiman mengumpul pelbagai pengalaman sepanjang 12 tahun penglibatannya dalam sukan tenpin boling termasuk memenangi dua pingat gangsa di Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 (Under 25 Division dan Open Division) dan pingat perak Terbuka Antarabangsa Sarawak 2023 (Under 25 Division).

Sementara itu,Nur Jeehan Iezzaty Suffian, 19, yang membuat penampilan pertama di SUKMA, yakin dapat menyumbang pingat emas buat kontinjen Sabah berdasarkan pengalaman diperolehnya terutama selepas menyertai beberapa kejohanan besar sebelum ini.

“Sasaran saya, dapat pingat emas. Walaupun gementar, saya yakin boleh bawa pulang pingat untuk Sabah,” katanya yang akan menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan Oktober ini.

Antara pencapaian cemerlang Nur Jeehan termasuk pingat emas di Singapore Open Youth Girl dan Sarawak International Open Girl tahun lepas.

Nur Jeehan yang akan membuat penampilan bersama adiknya Nur Aleeya Syakirah, 18, pernah merangkul beberapa pingat emas di GP Milo Sport Excel, Sabah League Milo Sport Excel dan Sarawak League Milo Sport Excel 2022.

“Saya bersyukur terpilih ke SUKMA Sarawak, dan saya akan berikan yang terbaik untuk negeri saya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan