SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Skuad Sofbol Wanita Negeri Sembilan Berguru Di Filipina

10/08/2024 04:52 PM

NILAI, 10 Ogos (Bernama) -- Skuad sofbol wanita Negeri Sembilan menjalani latihan selama seminggu di Filipina sebagai persediaan mengadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Ketua jurulatihnya Muhammad Afnan Abdul Azizi berkata pasukan wanita mendapat pendedahan terbaik di bawah bimbingan pemain Filipina, Raymundo Yap Pagkaliwagan.

Beliau berkata latihan di luar negara itu dapat menambah keyakinan selain dapat meningkatkan kemahiran serta prestasi pemain khususnya dari aspek balingan dan memadang (pertahanan).

“Filipina antara pasukan hebat di rantau Asia Tenggara dalam sukan sofbol dan pasukan wanita berpeluang mengikuti latihan selama seminggu di sana pada 14 hingga 21 Julai lepas.

"Kali terakhir sofbol dipertandingkan pada SUKMA 2013. Saya percaya peluang meraih pingat terbuka dan pasukan negeri juga dalam prestasi terbaik untuk memberikan saingan hebat nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Sukan Politeknik Nilai, baru-baru ini.

Muhammad Afnan berkata skuad wanita Negeri Sembilan turut diperkuatkan dengan seorang pemain kebangsaan Anum Maisara Zulkiply, selain dua picther yang berada dalam prestasi terbaik Nur Misya Nadhirah Azwan dan Alia Syuhada Zainuddin.

"Kebanyakan pemain negeri ini sudah lama bermain dalam pasukan  di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Jadi keserasian di atas padang itu tidak menjadi masalah," katanya.

Beliau berkata antara pesaing hebat dalam acara sofbol ialah Johor dan Perak.

Acara sofbol terdiri daripada 15 pemain termasuk enam pemain simpanan, akan membuka tirau pada 15 hingga 19 Ogos di padang bola sepak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri bagi pasukan lelaki manakala pasukan wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbau, Miri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan