SUKAN > BERITA

Arlia Nur Falisha Bawa 'Aura Olimpik' Kakak Ke SUKMA

10/08/2024 08:34 PM

PARIS, 10 Ogos (Bernama) -- Pemanah muda Arlia Nur Falisha Mohamad Zairi mahu membawa aura Sukan Olimpik Paris 2024 bagi menggapai kejayaan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17-24 Ogos ini.

Arlia Nur Falisha, yang merupakan adik kepada Ariana Nur Dania, 19,  berada di Paris bersama keluarga untuk memberikan sokongan buat kakaknya yang beraksi di temasya terbesar dunia itu. 

Berakhir cabaran kakaknya di pentas Olimpik, kini giliran Arlia Nur Falisha, 16, pula untuk memulakan misi penting mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan pada SUKMA, yang merupakan medan mencungkil bakat.

“Saya sangat terharu dan bangga dengan kakak saya sebab berjaya sampai ke tahap ini, layak ke Olimpik. Sebagai atlet muda, saya sangat teruja dan bermotivasi untuk ke SUKMA selepas melihat dengan sendiri tahap persaingan jaguh dari seluruh dunia di sini.

“Melihat kakak saya beraksi, semangat saya membara untuk menjadi atlet yang lebih baik supaya dapat mewakili Malaysia di Olimpik suatu hari nanti. Paling dekat adalah SUKMA untuk nilai tahap saya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Di temasya itu nanti, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur itu bertekad untuk memperbaiki pencapaian peribadi 308 mata bagi pusingan ranking apabila turun beraksi dalam acara recurve 70 meter individu dan berpasukan di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya, Kuching. 

Sementara itu, bapanya Mohamad Zairi Mohamad Yusof dan ibunya Norashikin Mohd Kamal, yang turut berada di Invalides, di sini atas perbelanjaan sendiri demi memberi sokongan kepada Ariana Nur Dania, berkata mereka sanggup berhabis wang ringgit kerana ingin melihat anak-anak mencapai impian masing-masing.

Mohamad Zairi berkata kos bagi sukan memanah tidak begitu mahal pada peringkat permulaan tetapi semakin meningkat apabila mereka pergi ke tahap seterusnya, dengan harga busur sahaja boleh mencecah RM20,000.

“Pada awalnya kita tanggung kos, tetapi selepas masuk ke skuad SUKMA ada dapat sedikit bantuan daripada WiPERS (Majlis Sukan Wilayah Persekutuan) dan setelah Ariana masuk program pelapis kebangsaan, disokong sepenuhnya oleh kerajaan. 

“Alhamdulillah, kita rasa berbaloi apabila dia membuat kita dan seluruh rakyat Malaysia bangga ketika beraksi di Olimpik. Jadi, nasihat saya kepada ibu bapa yang ada anak-anak minat sukan, beri sokongan mungkin bermula dengan peralatan yang murah kemudian boleh tambah baik,” katanya. 

Norashikin berkata Ariana Nur Dania sememangnya menjadi inspirasi buat adiknya untuk menyertai sukan memanah.

“Sejak kecil Ariana tidak minat menonton ‘Barbie’ atau ‘Cinderella’, tetapi tertarik dengan ‘Merida’ (watak dalam filem animasi Brave) dan katanya mahu mencuba memanah.

“Bagi Arlia pun kita tidak paksa…kami bawa dia sekali ketika Ariana pergi latihan, dia akan duduk tepi padang ketika kakaknya berlatih. Lebih kurang setahun juga baru dia tanya nak mencuba sukan ini dan kami harap dia dapat beraksi dengan baik di SUKMA,” katanya. 

Pada saingan di Paris 2024, Ariana Nur Dania hampir mengejutkan juara dunia 2022 Chiara Rebagliati dari Itali dalam pusingan penyingkiran 1/32 individu wanita sebelum tewas 5-6 melalui ‘shoot-off,’ manakala bagi acara berpasukan dia bersama Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohamad Fazil tewas 3-5 kepada Indonesia dalam pusingan penyingkiran 1/8.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan