SUKAN > BERITA

Mohamad Aniq Gembira Sukan Angkat Berat Mula Dapat Perhatian

10/08/2024 08:12 PM

SEPANG, 10 Ogos (Bernama) -- Badang negara Mohamad Aniq Kasdan mengakui gembira apabila sukan angkat berat mula meraih perhatian rakyat Malaysia selepas penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini. 

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu berkata sukan itu kini lebih dikenali terutamanya selepas beliau membuktikan bahawa Malaysia mampu memberi tentangan pingat di temasya sukan terbesar dunia itu. 

"Saya tak dapat pingat pun saya tengok pandangan orang ramai terhadap sukan ini sudah berbeza sekarang. 

"Saya gembira sebab orang sudah nampak sukan angkat berat ini antara sukan yang boleh jadi pencabar pingat di Olimpik," katanya kepada pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Paris hari ini.

Mohamad Aniq turut berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang digeruni dalam sukan angkat berat di persada antarabangsa. 

"Saya mahu buktikan perkara itu di Kejohanan Dunia tahun depan, mana tahu di Olimpik Los Angeles boleh dapatkan pingat juga," katanya. 

Mohamad Aniq menamatkan kempen di Paris pada tempat keempat dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan mencatatkan rekod kebangsaan baharu angkatan keseluruhan 297 kg iaitu 1 kg mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini.

Bagi acara snatch, Mohamad Aniq meleburkan rekod kebangsaan 129 kg milik Muhamad Aznil Bidin, apabila memikul bebanan 130 kg namun beliau hanya berjaya dalam percubaan 167 kg bagi clean & jerk. 

Mohamad Aniq sebelum ini memegang rekod kebangsaan bagi clean & jerk dengan catatan 170 kg dan keseluruhan 296 kg.

Li Fabin dari China mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310 kg manakala perak menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan 303 kg manakala wakil Amerika Syarikat Hampton Morris melakukan angkatan 298 kg iaitu hanya berbeza 1 kg dengan Mohamad Aniq.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan