SUKAN > BERITA

SUKMA: Selangor, Johor Tawar Ganjaran RM10,000 Untuk Emas

13/08/2024 06:04 PM

KUCHING, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri menawarkan Insentif menarik dalam bentuk wang tunai kepada atlet yang berjaya memenangi pingat apatah lagi memecah rekod pada temasya Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak bermula Sabtu ini hingga 24 Ogos ini.

Selangor dan Johor merupakan dua negeri yang menawarkan insentif tertinggi, masing-masing sehingga RM10,000 kepada pemenang pingat emas dalam SUKMA 2024.

Pahang pula menawarkan insentif sebanyak RM6,000 manakala lima negeri lain menjanjikan ganjaran RM5,000 kepada atlet yang meraih pingat emas dalam acara individu, iaitu Perlis, Perak, Wilayah Persekutuan, Melaka, dan Negeri Sembilan.

Selain itu, lima lagi negeri, termasuk tuan rumah, masih belum mengumumkan 'ganjaran istimewa' untuk pemenang pingat emas, sementara Pulau Pinang, Sabah, Kelantan, dan Terengganu yang juga naib juara edisi lepas turut berteka-teki mengenai jumlah ganjaran tersebut.

Kontinjen Johor yang bertandang ke Bumi Kenyalang dengan misi mempertahankan gelaran juara menjanjikan insentif sebanyak RM10,000 bagi atlet acara perseorangan dan RM20,000 untuk acara berpasukan yang berjaya meraih pingat emas pada edisi ke-21 temasya tersebut.

Sementara itu, Selangor menjanjikan ganjaran RM10,000 kepada pemenang pingat emas individu, RM5,000 seorang bagi acara berpasukan dengan kurang daripada lima orang, dan RM3,000 seorang bagi acara berpasukan lebih daripada lima orang, yang merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding temasya yang sama pada tahun 2022.

Bagi Pahang, insentif sebanyak RM6,000 ditawarkan kepada pemenang pingat emas, meningkat daripada RM4,000 sebelum ini.

Perlis yang meletakkan sasaran 10 emas melalui prospek utama daripada sukan taekwondo, angkat berat, olahraga, dan pelayaran menawarkan RM5,000 untuk pemenang pingat emas, RM3,700 untuk perak dan RM2,400 bagi pingat gangsa dalam acara individu.

Bagi negeri Perak, selain ganjaran RM5,000 untuk pemenang pingat emas, atlet yang meraih perak akan menerima RM3,000 dan RM1,000 untuk pingat gangsa manakala bagi kategori berpasukan, RM2,500 disediakan untuk pingat emas, RM1,500 untuk perak dan RM500 untuk gangsa.

Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) pula akan memberikan insentif berjumlah sehingga RM5,000 buat pemenang pingat emas sama ada individu atau berpasukan, RM2,000 untuk perak dan RM1,000 untuk gangsa, sebagai dorongan kepada atlet mereka.

Melaka turut menawarkan insentif RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 bagi perak dan RM1,500 untuk gangsa selain pemenang turut berpeluang menerima imbuhan tambahan daripada bapa angkat dan agensi angkat masing-masing.

Negeri Sembilan juga menyediakan insentif RM5,000 kepada atlet individu yang berjaya meraih pingat emas selain RM3,000 untuk perak dan RM2,000 untuk gangsa.

Kerajaan Kedah pula akan memberi ganjaran berjumlah sehingga RM4,000 kepada atlet negeri itu yang berjaya merangkul emas sementara pemenang pingat perak akan menerima ganjaran sehingga RM2,500 dan pemenang pingat gangsa akan menerima sehingga RM1,300.

Berbeza dengan Pulau Pinang dan Terengganu, kedua-dua negeri ini menjanjikan ganjaran istimewa kepada pemenang setiap warna pingat, namun tidak mengumumkan jumlahnya.

Sementara itu, Kelantan masih belum menyatakan sama ada menyediakan insentif khas atau tidak.

Bagi tuan rumah, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa insentif yang bakal diterima oleh atlet tuan rumah yang berjaya menyumbang pingat di SUKMA 2024 akan lebih ‘baik’ berbanding temasya sebelum ini.

SUKMA XXI menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan kesemua acara berlangsung di 50 venue pertandingan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Seramai 9,927 atlet dari seluruh negara mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan itu selain Brunei sebagai kontinjen jemputan.

Sarawak menganjurkan SUKMA buat kali ketiga selepas 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan