SUKAN > BERITA

Juh! Kita Nangga SUKMA!

13/08/2024 06:36 PM

SIBU, 13 Ogos (Bernama) -- Orang ramai di sekitar kawasan tengah Sarawak diseru menghadiri dan memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sibu dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Pegawai Wilayah Tengah Majlis Sukan Sarawak (SSC) Mikar Changgan berkata kemasukan ke venue-venue pertandingan adalah percuma.

"Untuk kluster Sibu kita ada tiga sukan yang dipertandingkan iaitu bola sepak, bola tampar dan badminton," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya sukan popular bola sepak sudah pun bermula semalam dan perlawanan kedua bagi saingan kumpulan akan diadakan esok di Stadium Tun Zaidi dan Stadium Azman Hashim.

Negeri Sembilan yang tewas 0-2 kepada Selangor semalam akan bertemu Kelantan di Stadium Azman Hashim dalam perlawanan Kumpulan A yang bermula pada 4 petang.

Sementara itu Johor yang menang 1-0 ke atas Terengganu akan bertemu Sabah dalam perlawanan Kumpulan B pada waktu sama di Stadium Tun Zaidi.

Beliau berkata perlawanan bola tampar pula akan diadakan dari 17 hingga 24 Ogos di Stadium Bola Tampar Taman Rejang di sini.

"Pasukan lelaki Sarawak akan membuka tirai perlawanan Kumpulan A menentang Pahang pada 8 pagi 17 Ogos ini. Marilah kita sama-sama hadir untuk memberikan sokongan kepada pasukan Bumi Kenyalang!" katanya.

Sementara itu katanya pertandingan badminton berpasukan campuran bakal berlangsung pada 17 dan 18 Ogos di Stadium Tertutup Sibu, bermula 10 pagi.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi ‘SUKMA XXI’ di telefon mudah alih masing-masing bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat dan berita mengenai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 secara masa nyata, katanya.

Dalam pada itu, Bernama memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

Sebanyak 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara, terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, merentasi sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan