SUKAN > BERITA

Bintang Wushu Selangor Atlet Pertama Raih Dua Pingat Emas Di SUKMA 2024

15/08/2024 11:43 AM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Jaguh wushu Selangor Mandy Cebelle Chen muncul atlet pertama merangkul dua pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas mengungguli final taijiquan wanita hari ini.

Masih segar dengan kejayaan meraih emas acara taijijian wanita semalam, Mandy sekali lagi mendominasi saingan taijiquan sekali gus mengesahkan emas peribadi keduanya pada temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.

Pada saingan berlangsung di Dewan Wushu SSC hari ini, atlet pelapis kebangsaan berusia 21 tahun itu mencatat kutipan mata tertinggi 9.606 untuk mengatasi 18 pencabar lain.

Atlet Wilayah Persekutuan Kwan Yong Xin pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 9.600 mata sementara gangsa menjadi milik wakil tuan rumah Carmen Jia Min Chaw dengan 9.573 mata.

Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan