SUKAN > BERITA

Skuad Sofbol Lelaki Terengganu Lakar Kemenangan Kedua

16/08/2024 03:20 PM

MIRI, 16 Ogos (Bernama) -- Terengganu meneruskan momentum cemerlang apabila meraih kemenangan kedua acara sofbol lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri hari ini.

Terengganu meraih mata menerusi innings pertama, kedua dan keenam untuk menewaskan Johor 10-5  dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan A.

Johor yang cuba merapatkan jurang, bagaimanapun hanya berhasil mengutip lima mata menerusi innings pertama, keempat dan keenam sekali gus merekodkan kekalahan pertama mereka.

Ketua jurulatih sofbol lelaki Terengganu Zamuin Mohamed Yusof ketika ditemui berkata dua kemenangan berturut-turut dilakar anak buahnya itu meletakkan mereka di landasan tepat untuk ke peringkat akhir.

“Alhamdulillah, dah lepas halangan utama Selangor dan Johor. Selepas ini kita akan bertemu Sarawak untuk tentukan juara kumpulan.

“Bagi saya dah sampai tahap ini, peluang semua pasukan seimbang. Sarawak ada kelebihan bermain di tempat sendiri namun kita teruskan momentum sedia ada untuk meraih kemenangan,” katanya.

Kemenangan hari ini membolehkan Terengganu menerajui Kumpulan A dengan mengutip enam mata selepas dua perlawanan dan dijadual berdepan tuan rumah dalam aksi terakhir peringkat kumpulan esok.

Sementara itu, Pahang meraih kemenangan sulung dalam saingan peringkat Kumpulan B selepas menewaskan Sabah 15-3.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan