SUKAN > BERITA

Pulau Pinang, Selangor Buat Perhitungan Di Final Sepak Takraw Berpasukan Lelaki

17/08/2024 12:42 AM

BINTULU, 16 Ogos (Bernama) -- Pemenang pingat gangsa edisi lepas, Pulau Pinang menepati ramalan melangkah ke pentas akhir sepak takraw berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menewaskan Melaka di Stadium Muhibbah di sini.

Dalam aksi separuh akhir, Regu A Pulau Mutiara diketuai Danial Iman Hasbullah yang bertindak sebagai pengumpan tenang mengawal gelanggang untuk memenangi perlawanan dengan 15-8, 15-13.

Pada perlawanan kedua, Regu B Melaka memberikan tentangan hebat namun ketangkasan pemain Pulau Pinang berjaya mengekang segala asakan dan memenangi perlawanan 15-12, 15-13 untuk mengesahkan tiket ke final esok.

Sementara itu, Selangor mencipta kejutan menumpaskan juara bertahan Terengganu 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, Regu A Selangor terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan regu Terengganu 15-11, 12-15, 15-9.

Pada perlawanan kedua, Regu B Terengganu menghidupkan peluang apabila mengikat kedudukan 1-1 selepas mencatat kemenangan dramatik 17-15, 15-17, 15-12.

Regu C Selangor menjadi wira pasukan apabila menamatkan sisa perjuangan pasukan Terengganu selepas melakar kemenangan 15-13, 15-11 untuk melangkah bergaya ke peringkat akhir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan