SUKAN > BERITA

Trio Menembak Pahang Pertahan Pingat Emas SUKMA Lebih Dua Dekad

17/08/2024 08:13 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Pahang mengekalkan penguasaan selama 24 tahun dalam acara 25 meter standard pistol Sukan Malaysia (SUKMA) apabila trio lelaki membidik pingat emas di Lapang Sasar Sarawak hari ini.

Pada SUKMA 2024 hari ini Cheah Zen Hong, Riky Mohamad Yasin Pakriudin dan Azrul Akmal Zulkefli mengumpul 1,633 mata sekali gus mempertahankan kilauan emas yang diraih Pahang sejak 2000.

Kejayaan itu hampir memecah rekod SUKMA milik penembak senior negeri itu dibarisi Low Wei Chern, Muhd Ridwan Awaluddin dan Syaidiq Hanif June Hassen dengan bidikan 1,640 yang dicipta pada 2016.

Cheah ketika ditemui pemberita berkata kejayaan itu hasil kerja keras sepasukan untuk memastikan pingat emas di bawa pulang dari temasya dwitahunan itu. 

"Sasaran kami pertahankan emas dalam berpasukan, kemudian baru fokus acara individu.

“Secara peribadi prestasi saya baik, saya dapat melakukan bidikan konsisten walaupun ini bukan acara kegemaran saya,” katanya yang akan turun dalam acara kegemarannya 10m Air Pistol esok.

Atlet berusia 18 tahun itu turut merangkul pingat emas dalam acara 25m standard pistol individu dengan mengumpul 560 mata menewaskan penembak Terengganu Banin Al Ghazali Ahmad Badrul Hisham (541 mata) dan rakan sepasukan Riky Mohamad Yasin (538 mata) di tempat ketiga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan