SUKAN > BERITA

Sukan Paralimpik: Mohamad Yusof Hafizi Ada Peluang Baik Ke Final

21/08/2024 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pelumba berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin berpotensi mara ke final kejar-mengejar 3,000 meter (m) lelaki C1 (kecacatan fizikal) sekiranya mampu mengulangi catatan masa dilakukannya ketika sesi latihan sebelum ini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal para negara Johari Mohd Nayan berkata Mohamad Yusof Hafizi pernah merekodkan catatan masa 3 minit 53 saat (s) sekali gus mengatasi catatan peribadi terbaik dilakukannya iaitu 3:55.612s pada Kejohanan Dunia 2023 di Glasgow.

“Jika Mohamad Yusof Hafizi dapat lakukan bawah 3:53s mungkin peluang baik ke final, sebab ketika latihan dia dapat atasi catatan peribadinya sebelum ini.

“Namun realitinya masa dicatatkan ketika itu ambil faktor mungkin sebab tak gemuruh namun pada hari pertandingan (Paris 2024) susah untuk kita jangkakan,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R Subramaniam ke kem latihan skuad berbasikal para di sini, hari ini.

Beliau berkata sebarang pingat daripada pelumba berusia 26 tahun itu, yang sebelum ini beraksi di Tokyo 2020, dianggap bonus memandangkan tentangan sengit pelumba dari China dan Amerika Syarikat pada saingan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines.

Johari berkata pentas Paris 2024 sebenarnya dilihat sebagai medan membina kematangan atlet dari Kuala Kangsar itu bagi membolehkan beliau mencabar kedudukan pingat pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Sukan Paralimpik 2024 dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan