SUKAN > BERITA

Nurul Azlia Syafinaz-Nurul Suhada Optimis Lebih Garang Di Paris 2024

21/08/2024 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pelumba berbasikal paralimpik negara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya Nurul Suhada Zainal, optimis mampu menampilkan kayuhan lebih bertenaga pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Selepas kayuhannya terhenti pada penampilan sulung di Tokyo 2020 susulan masalah pernafasan, Nur Azlia Syafinaz berkata beliau bersama jurumudi Nurul Suhada Zainal sudah lebih bersedia, selepas menjalani persiapan rapi menjelang Paris 2024.

“Setakat ini semua berjalan lancar, kesihatan pun baik dan doktor juga beri lampu hijau untuk berlumba. Ketika Tokyo 2020, sesi latihan sebelum itu dijalankan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dan hanya boleh berlatih di velodrom dan bukan lebuh raya.

“Sewaktu di Tokyo pula cuaca sejuk dan saya beritahu Nurul Suhada tak boleh teruskan perlumbaan ujian masa berbasikal lebuh raya wanita B (masalah penglihatan),” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R Subramaniam di sini, hari ini.

Susulan masalah kesihatan menimpa Nur Azlia Syafinaz pada Tokyo 2020, mereka tidak dapat menamatkan perlumbaan ketika hanya berbaki tiga kilometer ke garisan penamat dan dikejarkan ke pusat perubatan untuk menerima rawatan lanjut.

Selain acara ujian masa tersebut, Nur Azlia Syafinaz-Nurul Suhada akan turut bersaing dalam acara lebuh raya wanita B dan dua acara trek iaitu 3,000 meter (m) kejar-mengejar wanita B dan 1,000m ujian masa wanita B.

Nurul Suhada berkata antara persiapan rapi dilakukan bersama Nur Azlia ialah menyertai siri jelajah di beberapa lokasi di dalam negara selama dua minggu baru-baru ini, bagi meningkatkan kelajuan dan momentum menjelang Paris 2024.

Jurumudi berusia 31 tahun itu juga berharap, mereka mampu memberikan segala-galanya bagi mengintai peluang menamatkan perlumbaan dan berada dalam kedudukan sebaik mungkin di Paris.

Beliau juga berkata peluang lebih terbuka bagi mereka untuk mencapai kedudukan lebih baik dalam acara lebuh raya, berbanding trek.

“Walaupun kami sasar 19 terbaik, tapi kami akan pergi sekuatnya, itu yang selalu saya pesan kepada Nur Azlia Syafinaz kerana dalam temasya sukan apa-apa boleh terjadi,” katanya.

Sukan Paralimpik Paris 2024 akan bermula 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan