SUKAN > BERITA

Saya Akan Hadiahkan Kereta Kepada Ayah – Wooi Yik

22/08/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pemain beregu lelaki utama negara Soh Wooi Yik memutuskan untuk menghadiahkan kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) (Chery Tiggo 7 Pro) yang diterimanya daripada Chery Malaysia kepada ayahnya Soh Goon Chup.

Wooi Yik menyatakan ganjaran ini memberikan peluang terbaik baginya untuk mengejutkan Goon Chup serta keluarga dengan hadiah itu berikutan sokongan padu mereka selama ini.

“Sebelum ini hadiah paling bermakna ialah dompet, tetapi hadiah kereta merupakan yang paling besar saya akan beri kepadanya. Ayah juga pernah tanya mengenai kereta yang saya dapat hari ini, tetapi saya belum beritahunya kerana mahu buat kejutan.

“Walau pun hadiah ini dari Chery Malaysia, namun saya akan beri kereta ini kepada ayah. Saya juga mahu menghargai keluarga kerana mereka menjaga saya dari dahulu dan tanpa mereka saya tidak mampu cipta kejayaan di Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian kereta itu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Sementara itu, Aaron ingin mengucapkan terima kasih kepada Chery Malaysia kerana meraikan mereka sebagai pemenang pingat Olimpik.

“Kereta ini benar-benar hebat, terutamanya untuk saya sebagai seorang yang berkeluarga,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu juga berharap atlet akan mendapat lebih banyak sokongan dalam menuju ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Ditanya mengenai kejohanan berikutnya, Aaron berkata dia dan Wooi Yik akan kembali beraksi di Terbuka Hong Kong 2024 dari 10-15 Sept.

Pada Paris 2024, Aaron-Wooi Yik mempertahankan pingat gangsa Olimpik mereka selepas menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19.

Pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia turut menerima hadiah kereta berikutan kejayaan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024.

Zii Jia merangkul pingat gangsa di Paris 2024 selepas menewaskan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan