AM > BERITA

Laluan kereta api Bangkok–Butterworth perkukuh P.Pinang sebagai hab pengangkutan serantau

23/08/2024 12:51 AM

GEORGE TOWN, 22 Ogos (Bernama) -- Perjanjian antara Malaysia dengan Thailand untuk menyambung semula perkhidmatan kereta api antara  Bangkok, Padang Besar dan Butterworth dijangka meningkatkan potensi Pulau Pinang menjadi gerbang ke Asia Tenggara, selain mengukuhkan peranannya sebagai hab pengangkutan serantau.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata perkembangan terbaharu itu juga dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan Pulau Pinang serta memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Laluan kereta api ini akan menghubungkan bandar raya utama di selatan Thailand dengan rangkaian pelancongan Pulau Pinang, menghubungkan pelbagai destinasi pelancongan di Malaysia dan Thailand serta membentuk koridor perjalanan merentasi Semenanjung.  

“Pengembara boleh meneroka Indo-China dan kemudian meneruskan perjalanan dari Bangkok ke Pulau Pinang dengan kereta api, sambil menikmati landskap indah ditemani alunan ritma kereta api yang melintasi pemandangan menakjubkan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata laluan kereta api baharu ini bukan sahaja menambah pilihan perjalanan antara Thailand dengan Malaysia, tetapi turut menawarkan pengalaman perjalanan baharu kepada pengembara beg galas dan pengembara muda.

Wong berkata beliau percaya perkhidmatan ini akan meningkatkan kemasukan pengunjung ke Pulau Pinang melalui jalan darat, laut dan udara sekali gus menarik lebih ramai kedatangan pelancong antarabangsa dan memacu pertumbuhan pelancongan Pulau Pinang.  

Menyuarakan pandangan sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang Dr Annuar Mohamed berkata perkembangan ini akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan terutamanya di Pulau Pinang dan Perlis.

Beliau berkata perkhidmatan itu juga memberikan peluang kepada pelancong dari Malaysia dan Thailand pengalaman menggunakan kaedah perjalanan berbeza selain pengangkutan udara.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata cadangan menyambung semula perkhidmatan kereta api terus antara Bangkok, Padang Besar dan Butterworth itu akan membawa lebih banyak aktiviti perniagaan ke negeri berkenaan.

Beliau berkata selain membawa pelancong ke kedua-dua arah termasuk ke negeri ini, ia juga membuka peluang perniagaan kepada syarikat di Pulau Pinang.

"Kita mengalu-alukan pengumuman itu dan hal ini bermakna aliran trafik dari segi penumpang serta kargo akan meningkat, ia merupakan peluang perniagaan kepada syarikat di Pulau Pinang.

"Di samping membawa pelancong, ia juga menjadi pengangkutan alternatif kepada perkhidmatan sedia ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar bahawa Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menyambung kembali perkhidmatan kereta api terus antara Bangkok, Padang Besar dan Butterworth.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan