SUKAN > BERITA

LTdL 2024: Syritsa Taruhan Utama Astana Qazaqstan

06/09/2024 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Pakar pecut pasukan Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa sekali lagi menjadi taruhan utama pasukan itu bagi memburu kemenangan dalam saingan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada 29 Sept hingga 6 Okt ini.

Menurut kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN), Syritsa yang membuat penampilan hatriknya bersama Astana pernah memenangi satu peringkat perlumbaan pada 2022 dan dua peringkat pada edisi 2023.

Berdasarkan senarai rasmi pelumba LTdL 2024, Astana turut membariskan empat pelumba dari Kazakhstan iaitu Vadim Pronsky, Igor Chzan, Yevgeny Gidich, Anton Kuzmin dan seorang pelumba Jerman Rudiger Selig.

“Buruan jersi oren sebagai pakar pecut  LTdL pastinya menjadi idaman Syritsa selepas dinafikan pelumba Tudor dari Belanda, Arvid de Kleijn, yang mengunggulinya dengan 72 mata keseluruhan, diikuti Syritsa (58 mata) dan Sasha Weemaes (Human Powered Health) 55 mata pada tahun lepas,” menurut kenyataan MSN hari ini.

Syritsa akan bergandingan dengan Selig sebagai watak utama dalam mengatur strategi ke henjutan terakhir di setiap peringkat perlumbaan manakala Kuzmin pula mampu mencabar gelaran pelumba terbaik keseluruhan berdasarkan pencapaiannya menduduki tempat ketiga dan keempat Jelajah iran dan Istanbul, tahun lepas.

Perlumbaan LTdL 2024 membabitkan jarak keseluruhan 1,190 kilometer (km) menyaksikan Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan selain dua peringkat melibatkan Miri dan Bintulu di Sarawak.

Perlumbaan peringkat pertama bermula di Langkawi diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (peringkat tiga), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat empat), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat lima), Batu Pahat ke Kulai (peringkat enam), Miri ke Bintulu (peringkat tujuh) dan Bintulu (peringkat lapan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan