SUKAN > BERITA

Pasukan Badminton Remaja Mampu Buat Kejutan Di Kejohanan Dunia

12/09/2024 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Skuad badminton remaja negara dijangka mampu mencipta kejutan apabila turun beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China bermula 30 Sept hingga 13 Okt ini.

Keyakinan itu disuarakan Ketua jurulatih remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Jeffer Rosobin berdasarkan prestasi cemerlang pasukan negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia pada Julai lepas.

Beliau berkata persiapan kini giat dijalankan selain akan menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya dalam memastikan pemain yang beraksi di kejohanan dunia tu berada di tahap prestasi tertinggi.

“Kalau kita lihat prestasi di Asian Junior pemain berjaya mendapat pingat selepas enam tahun. Kita dapat pingat perak untuk beregu lelaki dan tiga gangsa dalam beregu wanita, perseorangan dan acara berpasukan. 

“Peluang untuk pemain-pemain kita di World Junior cukup terbuka. Harap waktu yang ada ini kita dapat gunakan sepenuhnya untuk membolehkan mereka berupaya mempamerkan permainan baik … ,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Untuk rekod pencapaian terbaik Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Dunia pada 2011 dengan meraih tiga pingat emas dalam acara berpasukan campuran, perseorangan lelaki dan beregu lelaki.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat di kejohanan itu pada 2018 menerusi Goh Jin Wei yang berjaya meraih emas dalam acara perseorangan wanita.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berkenaan peluang pasukan Malaysia dalam acara berpasukan campuran, Jeffer berkata penggunaan format baharu bakal memberi kelebihan kepada pemain negara yang disifatkan mengamalkan corak menyerang.

“Kejohanan kali ini mereka akan guna format baharu iaitu 11 mata dan akan main 10 perlawanan. Jadi kita tengok peluangnya cukup besar untuk kita kerana corak permainan menyerang dan bermain pantas,” katanya.

Mengikut format baharu, 10 perlawanan yang dimainkan membabitkan masing-masing dua perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Setiap perlawanan akan dimainkan hingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata disahkan sebagai pemenang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan